Home Ekonomi Kadar pengangguran diramal 3.3% tahun ini

Kadar pengangguran diramal 3.3% tahun ini

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – MIDF Research mengunjurkan kadar purata pengangguran negara kepada 3.3 peratus pada tahun ini.

Unjuran itu berdasarkan jangkaan aktiviti ekonomi domestik akan terus berada pada trajektori menaik memandangkan keyakinan perniagaan tetap optimistik untuk enam bulan pertama tahun ini.

Selain itu, keyakinan tersebut dipacu oleh petunjuk global dari ekonomi maju dan sedang membangun yang masih memberi isyarat positif bahawa permintaan global akan kekal tinggi.

Walau bagaimanapun, kebimbangan berterusan terhadap potensi perang perdagangan, kata MIDF Research.

“Kami meramalkan pasaran pekerjaan Malaysia untuk terus mendapat manfaat daripada aktiviti perdagangan global yang mantap dan pemulihan secara beransur-ansur dalam harga komoditi terutamanya dalam industri berasaskan eksport dan berorientasikan komoditi,” kata firma penyelidikan itu.

Kadar pengambilan pekerja berkembang stabil dengan peningkatan 2.2 peratus tahun ke tahun pada Februari tahun ini, lebih tinggi daripada 2.1 peratus yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Jumlah bilangan pekerja kekal pada 2.1 peratus tahun ke tahun kepada 15.2 juta manakala pertambahan jumlah pekerjaan dalam ekonomi sebanyak 51,000, lebih tinggi berbanding purata bulanan 2017 sebanyak 30,300. – MalaysiaGazette