Home Politik 22 tahun di Kubang Pasu, kenapa lari ke Langkawi?

22 tahun di Kubang Pasu, kenapa lari ke Langkawi?

Ahmad Bashah Md. Hanipah

ALOR SETAR – Keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad lari bertanding ke Langkawi dan bukan di Kubang Pasu menunjukkan bekas perdana menteri itu tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadapnya, kata Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Menteri Besar Kedah itu berkata, walaupun Mahathir memilih tempat selamat untuk bertanding namun ia belum memberi  jaminan menang kepadanya.

Lantaran itu Ahmad Bashah menggesa penduduk pulau pelancongan itu menilai sendiri niat pemimpin pembangkang itu.

“Tak apa dia nak bertanding di Langkawi, kalau saya bertanding lah di Kubang Pasu buat apa di Langkawi… jadi perdana menteri 22 tahun, ketua bahagian, ahli Parlimen, tiba-tiba lari tinggal kawasan lari ke Langkawi.

“Saya tanya orang Langkawi mereka kena fikir, pasal apa dia mai bertanding di situ… ini tidak nak cari tempat selamat, belum tahu selamat tapi dia dah selamat di Kubang Pasu 22 tahun pasal apa nak tinggal,” kata beliau semasa majlis penyampaian bantuan banjir di Tajar hari ini.

Untuk rekod, Mahathir merupakan bekas Ahli Parlimen Kubang Pas dari tahun 1974 hingga tahun 2004.

Bagaimanapun beliau membuat keputusan untuk bertanding Parlimen Langkawi kerana mungkin dianggap kerusi selamat baginya.

Jelas Ahmad Bashah, kemungkinan Mahathir ada melakukan  sesuatu hingga beliau sendiri tidak yakin untuk mempertahankan kerusi lamanya.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah menggesa rakyat Kedah membuat keputusan tepat yang  tidak merugikan masa depan mereka sekiranya tersilap memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti. – MalaysiaGazette