Home Ekonomi Charon bakal jadi bos MIDF?

Charon bakal jadi bos MIDF?

Cahron
Charon Wardini Mokhzani

KUALA LUMPUR- Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) mengumumkan Pengarah Eksekutif dan Pejabat Pengarah Urusannya, Datuk Charon Mokhzani akan meletakkan jawatannya berkuatkuasa pertengahan bulan depan.

Charon yang juga Pengarah Urusan Institut Penyelidikan  Khazanah telah berkhidmat selama lima tahun dengan sayap pelaburan kerajaan itu.

Peletakan Charon bagaikan mengesahkan khabar angin yang mengatakan lelaki tinggi lampai dan berambut putih itu akan menyertai institusi kewangan milik Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Malaysia Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) tidak lama lagi.

Beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan dan korporat termasuk pernah menjawat kawatan Ketua Pegawai Eksekutif di CIMB Investment Bank Bhd. dikhabarkan akan menggantikan Pengarah Urusan MIDF, Datuk Mohd. Najib Abdullah yang akan menamatkan kontraknya.

Kontrak Mohd Najib dijangka berakhir Mei ini.

Dalam kenyataannya di sini hari, Khazanah berkata, serentak dengan peletakan jawatan Charon, ia telah melantik Amran Hafiz Affifudin dan Bryan Lim sebagai Pengarah Eksekutif (Pelaburan) berkuatkuasa 1 April lalu.

Sebelum ini, Amran dan Bryan merupakan Pengarah Pelaburan di Khazanah.

“Pelantikan baharu serta perubahan terkini ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha Khazanah untuk menyegarkan dan mengukuhkan pasukan pengurusan kanan sejajar dengan inisiatif pewarisan kepimpinan.

“Pada Disember tahun lepas, Khazanah telah mengumumkan pelantikan Ahmad Zulqarnain Onn dan Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz sebagai Timbalan Pengarah Urusan,” katanya.-MalaysiaGazette