KUALA LUMPUR – Selebriti, Hans Issac dan Neelofa bersama-sama selebriti tempatan menjadi barisan hadapan dalam Kempen Anti Buli Siber dan Berita Palsu yang dilancarkan hari ini.
Mengangkat tema ‘Sebar Fakta Bukan Dusta’ dan ‘Aku Bersamamu’ – kempen yang mendapat sokongan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, kata Hans selaku peneraju tidak ada kaitan dengan agenda politik.
Sebaliknya pelakon, penerbit dan pengarah itu menjelaskan, kempen itu merupakan inisiatif untuk penggiat seni dalam memberi kesedaran pentingnya untuk mangsa buli siber dan berita palsu mempertahankan diri dan bersuara.
“Kami tidak diarahkan untuk itu sebaliknya memberi kesedaran sesiapa sahaja yang mereka boleh melindungi diri dengan akta tersebut walaupun anda mak cik gerai, artis dan wartawan. Anda semua ada hak melindungi diri sendiri daripada buli siber.
“Kami tidak ada agenda politik, ini adalah kempen yang digerakkan oleh kami,” katanya ketika sidang media selepas majlis pelancaran kempen yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini.
Sekalipun seorang selebriti, jelas Hans, beliau tetap mempunyai hak untuk mempertahankan diri apabila difitnah.
Hans yang pernah dikecam sebelum ini oleh netizen atas penganugerahan gelaran Datuk menegaskan, proses mempertahankan diri melalui tindakan undang-undang perlu gerakkan sendiri oleh mangsa.
“Kami artis ke, penyanyi ke, kami adalah rakyat Malaysia. Kita perlu tahu pertahankan diri kita. Bayangkan hidup seseorang terjejas kerana buli siber berita tidak benar. Adakah adil untuk dia?
“Untuk tentukan keputusan ambil tindakan, buat aduan atau tidak bukan tanggungjawab kerajaan tapi diri sendiri,” katanya. -MalaysiaGazette