BAGAN DATUK – Kerajaan memberi jaminan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dinaikkan meskipun selepas Pilihanraya Umum ke-14 nanti.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan membuat pengiraan dan mendapati kadar sedia ada adalah mencukupi untuk menyumbang kepada perolehan negara sebanyak lebih RM40 bilion.
Katanya, dalam Bajet 2018 kerajaan turut menyasarkan peningkatan perolehan dari minyak dan gas kira-kira AS$70 bilion setong berbanding AS$52 setong sebelum ini.
“Perolehan daripada minyak yang diperolehi daripada dividen Petronas boleh membantu kerajaan melaksanakan projek-projek yang telah disenaraikan dalam manifesto Barisan Nasional selain membolehkan kerajaan memberikan peningkatan gaji tahunan kepada kakitangan awam seperti mana yang telah diumumkan baru-baru ini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis makan tengahari di Basha Restaurant dekat sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, tuduhan berkaitan kenaikan kadar GST telah disebarkan oleh sesetengah pihak yang memang sengaja menggugat kepercayaan rakyat kepada BN.
Jelasnya, tuduhan tersebut tidak berasas kerana Kementerian Kewangan dan Bank Negara mendapati tiada keperluan untuk menaikkan kadar sedia ada.
“Pendapatan (negara) kita bukan sahaja mencukupi malah mampu menampung bajet yang telah diumumkan.
“Ia lebih daripada cukup untuk kegunaan kita bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya lagi.- BERNAMA