ANKARA – Turki akan mengadakan pilihan raya Parlimen dan presiden pada 24 Jun tahun ini, lebih awal berbanding November 2019.
Cadangan itu dikemukakan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Erdogan telah memimpin negara itu sejak tahun 2002 dan dijangka mempertahankan kedudukannya lima tahun lagi.
Idea pengundian awal pada mulanya dicadangkan oleh sekutu nasionalis.
Erdogan dalam ucapan di televisyen negara itu berkata, pilihan raya itu perlu diadakan untuk menghapuskan “penyakit sistem lama”.
“Perkembangan di Syria dan di tempat lain memerlukan segera peralihan kepada sistem eksekutif baru demi masa depan negara kita dengan cara yang lebih kukuh,” kata presiden itu menerusi siaran langsung.
Erdogan berkata, beliau telah membuat keputusan itu selepas bercakap kepada Ketua Parti MHP , Devlet Bahceli, yang dijangka membentuk satu persekutuan dengan Parti AK dalam pemilihan Parlimen. – MalaysiaGazette