PUCHONG – Gerakan hari ini mengumumkan akan meletakkan calonnya di satu kerusi Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.
Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, walaupun keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu menunjukkan prestasi parti itu merundum, namun beliau yakin dengan perpaduan parti komponen BN mampu mengembalikan kemenangan kali ini.
“Saya berkeyakinan bahawa satu kerusi Parlimen dan tiga DUN di Selangor ini Gerakan akan terus bertanding dan kita telah beri senarai terakhir kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).
“Kami yakin ia akan diterima, dalam minggu depan Datuk Seri Najib Tun Razak akan putuskan senarai calon itu.
“Bagi Puchong, Gerakan sudah memberikan senarai akhir dan sedia berbincang dengan pimpinan BN beberapa hari lalu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Parlimen Puchong parti itu di sini, hari ini.
Dalam PRU13 pada Mei 2013 lalu, Gerakan meletakkan calonnya di Parlimen Puchong serta tiga DUN di Selangor iaitu Teratai, Bukit Gasing dan Bukit Lanjan di mana keempat-empat kerusi itu dimenangi oleh DAP sejak PRU12 pada 2008.
Siew Keong turut mengumumkan senarai calon Gerakan di Selangor yang akan bertanding di empat kerusi sama pada PRU14.
“Kita meletakkan Datuk David Ang Chin Tat untuk Parlimen Puchong, DUN Teratai ialah Ben Liew Pok Boon, DUN Bukit Gasing ialah Chai Ko Thing dan DUN Bukit Lanjan ialah Syed Abdul Razak Alsagof,” katanya.
Bagaimanapun katanya lagi, pihaknya sedang melakukan perbincangan dengan pucuk pimpinan BN untuk memohon satu lagi kerusi Parlimen di Selangor iaitu Parlimen Kota Raja yang dimenangi calon Pas sejak 2008.
“Ada satu lagi kerusi di mana masih dalam perbincangan dan akan dimuktamadkan minggu depan juga.
“Minimum kita akan bertanding di tiga kerusi DUN dan satu kerusi lagi akan dimuktamadkan minggu depan Isnin atau Selasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette