Home Politik BN Kedah tak goyah walaupun ada kerusi panas

BN Kedah tak goyah walaupun ada kerusi panas

ALOR SETAR – Kedah tidak goyah untuk Barisan Nasional (BN) terus bertapak walaupun terdapat beberapa kerusi panas di negeri itu, kata Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Menteri Besar Kedah itu sebaliknya berkata, jentera parti itu membuat persiapan dalam diam sejak dahulu lagi dan pasukan itu kini semakin bersedia untuk ‘bertempur’.

“Itu orang yang tidak tahu tentang persiapan-persiapan yang kita buat. Kita menyediakan jentera dan kita daripada awal lagi bersedia,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di Stadium Sultan Abdul Halim bagi meninjau majlis persiapan Manifesto BN Kedah di sini petang tadi.

Baru-baru ini, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad diumumkan sebagai calon Parlimen Langkawi dan ia sudah pasti kerusi panas kepada BN Kedah.

Manakala Parlimen Jerlun pula sebelum ini disandang oleh anaknya, DatukĀ  Seri Mukhriz dan berkemungkinan besar akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Tambah Ahmad Bashah yang juga Pengerusi BN Kedah, pengundi yang sudah lama merasai nikmat yang diberikan oleh parti BN berdasarkan prestasi sebelum ini jika dibandingkan dengan parti pembangkang.

Pengundi sudah tentu tidak akan mahu menerima risiko dan menggadaikan masa depan mereka pada pilihan raya kali ini.

“Kita tidak rasa bimbang. Rakyat tahu membuat pilihan yang baik untuk masa depan jadi kita dah bersama rakyat sudah begitu lama kita tahu pemikiran rakyat kerana mereka tidak akan menggadaikan kuasa yang ada pada mereka untuk merosakkan masa depan mereka.

“BN Kedah yakin kali ini kita akan dapat lebih dua pertiga dalam pilihan raya kali ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette