Home Nasional Pas kecam pembunuhan imam Palestin

Pas kecam pembunuhan imam Palestin

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas mengecam pembunuhan imam warga Palestin, Dr. Fadi M. Albatsh yang juga Pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ketika dalam perjalanan menunaikan solat subuh di surau kawasan kediamannya pagi ini.

“Kita mengucapkan takziah kepada ahli keluarga almarhum dan akan membantu mengambil tanggungjawab menyelesaikan urusannya.

“Kita sedih dengan pembunuhan warga Palestin yang berlaku di Malaysia. Sepatutnya kita memberi perlindungan dan jaminan keselamatan kepada mereka,” kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi tadi, pensyarah yang sudah berkeluarga itu ditembak mati di luar kondominium di Jalan Gombak, Setapak.

Mangsa yang berusia 35 tahun itu dipercayai ditembak oleh dua lelaki yang menunggang motosikal dan terdapat empat kesan tembakan dikesan pada badannya.

Menurut beliau, asas bahawa berkemungkinan Mossad dan Zionis sedang berkeliaran dan menembusi sempadan negara adalah sangat mengganggu ketenteraman rakyat negara ini.

Apatah lagi katanya, sekiranya dilihat pada sejarah lalu, telah menjadi amalan Mossad untuk melakukan pembunuhan terhadap pimpinan umat Islam di seluruh pelosok dunia termasuk di negara barat, sebelumnya di Emirates, Tunisia dan Beirut.

“Kita percaya apa yang berlaku ini ada kaitan dan dalang di sebaliknya.

“Kerajaan perlu melakukan penyiasatan terhadap pembunuhan tersebut dan mengingatkan berhati-hati dengan Israel yang mengamalkan keganasan dan dilindungi oleh kuasa besar.

“Kerajaan mesti berani dan jangan takut dengan sebarang tekanan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Pensyarah warga Palestin mati ditembak