KUALA LUMPUR – myPPP yang sebelum ini lantang menolak untuk bertanding di kerusi Parlimen Segambut akhirnya beralah apabila Naib Presidennya, Datuk Loga Bala menerima tawaran menjadi calon di kawasan tersebut.
Pengumuman itu dilakukan Setiausaha BN Wilayah Persekutuan, Datuk Rizalman Mokhtar menyebut Loga Bala yang merupakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan sebagai calon untuk kerusi tersebut.
Sebelum ini, Loga Bala diatakan berminat untuk bertanding kerusi Parlimen Segambut yang merupakan antara kubu kuat DAP namun dipercayai beliau belum mendapat restu daripada Presiden myPPP, Tan Sri M Kayveas sendiri.
Desas desus bermula apabila Loga Bala sendiri menyatakan kepada sebuah portal ‘alangkah baiknya jika ada ahli Parlimen dalam kalangan pemimpin India di Kuala Lumpur pada PRU-14’.
Jelas Loga Bala dalam temuramah tersebut, sudah tiba masanya masyarakat India di Kuala Lumpur mempunyai wakil di Parlimen dan tidak kisah sama ada wakil itu daripada Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).
Sebelum ini, Senator dua penggal itu dikhabarkan akan menjadi calon bagi kerusi Parlimen Batu di Kuala Lumpur.
Kerusi Segambut difahamkan ditawarkan kepada Kayveas sebagai ‘pertukaran’ untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands yang sebelum ini dikatakan milik myPPP.
Kayveas secara terbuka menolak kerusi itu dengan mendakwa parti beliau sedang ‘dibuli’ dengan hanya diberi satu kerusi yang didominasi oleh DAP dan berkemungkinan calonnya akan kalah.
Penyandang Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh akan bertanding di kerusi Parlimen Segambut menggantikan Lim Lip Eng yang akan ke Kepong menggantikan penyandang, Tan Seng Giaw.
Hannah berpindah daripada DUN Subang Jaya ke Parlimen buat kali pertama dalam karier politiknya.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terdiri daripada 11 kawasan Parlimen.
DAP memegang lima kerusi iaitu Bukit Bintang, Cheras, Seputeh, Segambut dan Kepong sementara PKR ada tiga kerusi di Lembah Pantai, Wangsa Maju dan Batu.
Dua lagi kerusi milik UMNO di Setiawangsa dan Titiwangsa.
Menurut sumber myPPP, parti itu terpaksa beralah seandainya mahu terus bertanding pada PRU kali ini.
“Jika tidak ambil, myPPP langsung tiada kerusi pula untuk bertanding. Itu juga perlu diambil kira. Apa yang perlu kita lakukan? Peranan myPPP penting dalam komponen BN,” ujarnya. – MalaysiaGazette