Home Nasional Malaysia terdedah dengan agen asing? – Dr Hafidzi

Malaysia terdedah dengan agen asing? – Dr Hafidzi

Pengerusi MyCARE, Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor bercakap pada Sidang Media Mengenai Pembunuhan Imam Palastin Dr. Fadi Al-Batsh di Pejabat MyCARE, Seri Kembangan, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 22 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Malaysia berpotensi terdedah kepada penyusupan oleh agen warga asing berikutan pembunuhan warga Palestin, Dr Fadi al Batsh, kata Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCare), kata Dr Hafidzi Mohd Noor.

Menurut beliau, kes pembunuhan Dr Fadi yang merupakan seorang imam dan pensyarah di Setapak pagi semalam menguatkan lagi syak wasangka itu.

“Sebagai warga Palestin dari Gaza yang telah bermastautin di Malaysia dengan rekod pencapaian akademik dan profesional yang cemerlang di samping sumbangan beliau kepada umat Islam, kemungkinan beliau telah menjadi sasaran musuh Zionis Israel tidak boleh ditolak.

“Modus operandi yang melibatkan pembunuh profesional tidak menolak kemungkinan ia dirancang agen atau operatif Mossad Israel.

“Episod pembunuhan ini menimbulkan persoalan yang menuntut jawapan segera.

“Adakah Malaysia kini terdedah kepada operasi pembunuhan yang dirancang oleh agen asing. Pembunuhan ke atas Dr Fadi seakan mengukuhkan lagi sangkaan ini ekoran beberapa kejadian bunuh yang melibatkan warga asing di negara ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu Hafidzi berkata, Malaysia yang terkenal sebagai negara yang sangat prihatin kepada warga Palestin dengan memberi perlindungan dan peluang pendidikan kepada mereka berpotensi menjadi sasaran ejen-ejen zionis yang bergerak di dalam negara sebagaimana berlaku di negara lain sebelum ini.

Beliau berkata, harapan kini hanya diserahkan kepada badan keselamatan kerajaan untuk menyelesaikan kes tersebut agar tidak berulang selain mengharapkan jaminan supaya pihak yang memperjuangkan nasib rakyat Palestin tidak diganggu-gugat oleh musuh luar.

Dalam kejadian awal pagi semalam, Allahyarham yang merupakan imam dan juga pensyarah dan sudah berkeluarga ditembak mati di luar kondominium di Jalan Gombak, Setapak.

Mangsa yang berusia 35 tahun ditembak dua lelaki yang menunggang motosikal dan terdapat empat kesan tembakan pada badannya. – MalaysiaGazette