KUALA LUMPUR – Isteri kepada seorang warga Palestin yang ditembak mati di ibu negara semalam terpaksa mengambil ubat untuk membolehkannya tidur serta berehat.
Wanita yang dikenali sebagai Enas berusia 30 tahun itu juga tidak dapat menerima hakikat dan sering meminta rakan-rakannya supaya mengatakan khabar suaminya mati ditembak hanyalah mimpi semata-mata.
Malah, dia turut berharap agar suaminya, Allahyarhamn Dr Fadi al Batsh akan kembali kepangkuannya.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Fauziah Mohd Hasan berkata, keadaan Enas dimaklumkan kepadanya oleh rakan wanita itu yang juga seorang wanita Palestin di kediaman mangsa.
Menurutnya, dua anak pasangan malang yang berusia antara enam bulan hingga empat tahun itu berada dalam jagaan jirannya kerana tidak mahu mereka melihat keadaan Enas yang masih trauma.
“Kami difahamkan isteri mangsa baru saja mendaftarkan diri untuk menyambung pelajaran peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Pengajian Islam.
“Kami berharap ahli keluarga Allahyarham Fadi terutama isteri dan anak-anaknya tabah menghadapi dugaan ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MyCARE, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi semalam, mangsa yang juga seorang pensyarah sebuah universiti swasta di ibu negara ditembak mati ketika berjalan ke surau di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, untuk menunaikan solat Subuh.
Sementara itu, Fauziah berkata, MyCARE akan menubuhkan tabung khas kutipan dana untuk membantu meringankan beban kewangan ahli keluarga Allahyarham Fadi di Malaysia.
“Dengan adanya dana daripada tabung ini, ia dapat mengurangkan beban kewangan ahli keluarga arwah terutama untuk urusan pengebumian sama ada dilakukan di sini atau di Gaza,” ujarnya.
Justeru katanya, orang ramai diharap dapat menyumbang kepada tabung khas itu sebaik ditubuhkan nanti.
“Pada masa sama, kami bersedia menanggung kos pengebumian dan penghantaran jenazah Fadi ke Gaza sekiranya keputusan sudah dimuktamadkan oleh waris keluarganya nanti,” tambah beliau. – MalaysiaGazette