Home Nasional Polis dedah lakaran wajah suspek pembunuh Dr. Fadi

Polis dedah lakaran wajah suspek pembunuh Dr. Fadi

suspek bunuh imam palastin
Fotofit suspek kem pembunuhan pembunuhan pensyarah universiti swasta warga Palestin, Palastin, Dr. Fadi Mohammed AlBatsh.

KUALA LUMPUR – Fotofit lakaran wajah dua suspek yang menembak seorang pensyarah universiti swasta dan juga imam warga Palastin, Dr. Fadi Mohammed AlBatsh, 35, diedarkan polis hari ini dalam usaha menyelesaikan kes tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, lakaran wajah kedua-dua suspek oleh pakar penyiasat polis hasil maklumat saksi dan kerjasama masyarakat awam telah diedarkan kepada semua agensi penguatkuasa termasuk Jabatan Imigresen di semua pintu keluar negara.

Katanya, polis tidak pasti sama ada kedua-dua suspek masih berada dalam negara.

Fotofit suspek kem pembunuhan pembunuhan pensyarah universiti swasta warga Palestin, Palastin, Dr. Fadi Mohammed AlBatsh.

“Kedua-dua suspek berjanggut dengan berketinggian 180 sentimeter dan berbadan tegap dilihat menaiki motosikal berkuasa tinggi jenis BMW GS atau Kawasaki berwarna gelap dilengkapi windshield dan kotak menyimpan barang di belakang selain berjaket, dengan topi keledar gelap dan membawa beg galas .

“Salah seorang suspek berkulit cerah dan dipercayai warga Timur Tengah ataupun Eropah dan kita memerlukan kerjasama orang awam yang ada maklumat insiden melibatkan tempoh masa antara 5 hingga 7 pagi itu supaya tampil membantu polis melengkapkan siasatan kes ini.

“Siasatan kita menyeluruh dan komprehensif dalam kes ini, oleh kerana kita tidak boleh menutup pintu masuk disebabkan tiada butiran, maka terdapat ruang untuk ketagih maklumat bantu kita lengkapkan kes termasuk kerjasama antarabangsa,” katanya kepada pemberita.

Beliau menyatakan demikian pada majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memakaikan pingat pada Timbalan Ketua Cawangan Khas II, IPK Pahang, Inspektor Ibrahim Saad pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan PDRM dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pulapol, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 APRIL 2018.

Pada majlis beliau memakaikan pangkat pegawai Kanan polis kepada 18 Pegawai Kanan PDRM dan Anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara melibatkan 101 orang pegawai pelbagai pangkat yang didahului Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak.

Ditanya sama ada mangsa telah berkongsi sebarang maklumat penting dengan pihak di Palastin, beliau berkata, masih pramatang untuk mendedahkan maklumat berkaitan memandangkan kes masih dalam siasatan.

Dalam pada itu katanya, hasil bedah siasat forensik ke atas mangsa di Hospital Selayang mendapati sebanyak 14 peluru dikesan pada badan mangsa.

“Ini menunjukkan mangsa mati akibat kecederaan ‘multiple injury’ termasuk di kepala dan badan akibat tembakan.

“Jadi kita telah menghantar peluru dan slug kepada pakar senjata penganalisa senjata untuk menentukan apa senjata yang digunakan suspek untuk melakukan kejadian kejam itu,” ujar beliau.

Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Khairil Ahmad di talian 019-3592582 atau ASP Shahrizal Salleh di talian 0177134705.

Mohamad Fuzi juga mengesahkan setakat ini polis belum mendapat maklumat mengenai sebarang ancaman terhadap keluarga mangsa.

“Bagaimanapun saya telah mengarahkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim memantau keadaan secara ketat.

“Jika ada aduan kami memberi jaminan kawalan keselamatan ketat akan disediakan untuk keluarga mangsa demi melindungi mereka.

“Kami juga hanya akan mengambil keterangan sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian daripada adik si mati,” katanya ketika ditanya sama ada adik mangsa akan dipanggil polis. – MalaysiaGazette