VIRGINIA – Satu pasukan doktor Amerika Syarikat telah berjaya melaksanakan pemindahan zakar dan skrotum pertama di dunia.
Pakar bedah di Hospital Universiti Johns Hopkins di Baltimore, Maryland, melakukan pembedahan itu ke atas seorang askar yang cedera dibom di Afghanistan.
Mereka menggunakan zakar, skrotum dan dinding perut separa yang dipindahkan daripada penderma yang meninggal dunia.
Dengan pembedahan itu, askar berkenaan dapat mengembalikan fungsi seksual, yang mustahil dapat dilakukan dengan rawatan pemulihan semula zakar.
Pasukan 11 pakar bedah melakukan pemindahan lebih 14 jam pada 26 Mac lalu.
Ini adalah pembedahan pertama dilakukan kepada askar tempur yang cedera semasa bertugas dan yang pertama untuk memindahkan sekumpulan tisu lengkap termasuk skrotum dan di sekitar abdomennya.
Doktor berkata, testis tidak dipindahkan kerana pertimbangan etika.
“Walaupun amputasi ekstrem boleh dilihat dan kecacatan jelas,” kata Dr WP Andrew Lee, ketua Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif di Universiti Johns Hopkins, semasa taklimat.
Dr Lee menyifatkan kecederaan alat kelamin yang dialami oleh askar itu sebagai “kecederaan perang yang tidak terucap”.
Dr Lee berkata, pembedahan itu dilakukan susulan pertemuannya dengan keluarga-keluarga askar semasa Hospital Johns Hopkins menganjurkan simposium pada tahun 2014.
Keluarga-keluarga askar telah berkongsi cerita tentang kecederaan oleh askar-askar sehingga menyebabkan mereka hilang identiti, harga diri dan masalah dalam hubungan seksual.
Askar berkenaan, dalam satu kenyataan berkata: “Ketika mula-mula tersedar dan bangun, saya rasa kembali normal. Saya dalam keadaan baik sekarang”.
Mangsa mengalami kecederaan selepas terpijak bom ketika bertempur di Afghanistan. – MalaysiaGazette