WASHINGTON – Bekas Presiden Amerika Syarikat, George H.W. Bush, yang baru saja kematian isterinya, Barbara Bush pada Selasa lalu, kini menerima rawatan di unit penjagaan intensif di Hospital Houtson Methodist.
“Bush telah dimasukkan ke Hospital Houston Methodist pagi semalam selepas jangkitan merebak ke dalam darahnya,” menurut jurucakap Jim McGrath dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Bush dimaklumkan menerima maklum balas baik terhadap rawatannya.
Bush, 93, dimasukkan ke hospital pada pagi Ahad lalu dengan jangkitan yang membawa kepada sepsis, yang boleh mengancam nyawa, menurut sumber yang dekat dengan bekas presiden itu.
Kata sumber itu, Bush dalam keadaan kritikal kerana tekanan darahnya terus jatuh.
Sebelum ini, Bush menderita akibat penyakit Parkinson, yang menyebabkan dia tidak dapat berjalan dan hanya menggunakan kerusi roda. – MalaysiaGazette