
PUTRAJAYA – Bidang kesihatan akan terus diperkasakan dalam tempoh lima tahun akan datang di bawah mandat baru selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perkara itu telah termaktub dibawah manifesto Barisan Nasional (BN) peringkat nasional yang dilancarkan beliau pada 7 April lalu.
“Manifesto kita telah tetapkan bidang penjagaan kesihatan dan gaya hidup sihat antara satu daripada 14 teras keutamaan BN.
“Penyakit kanser merupakan satu penyakit kronik yang boleh menimpa sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina latar belakang dan keturunan,” katanya dalam ucapan perasmian Institut Kanser Negara di Putrajaya hari ini.
Mengiringi Najib, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dan Pengarah Institut Kanser Negara, Dr. Asmayani Khalib.
Mengulas lanjut, Najib berkata, pada 2012 sahaja seramai 8.2 juta pesakit kanser meninggal dunia dan semakin bilangannya meningkat kepada 13.1 juta menjelang 2030.
Jumlah itu menurut Najib, akan terus meningkat sekiranya tiada langkah pencegahan dan rawatan awal tidak dilakukan dengan sewajarnya oleh kerajaan.
“Kesedaran ini perlu ditanam supaya semua rakyat akan tampil ke hadapan untuk melalui ujian dari masa ke semasa sebelum sampai ke tahap teruk, dan kosnya agak minima.
“Saya sedar bahawa kalau tidak ada perkhidmatan kesihatan temasuk kanser di IKN ini maka mereka yang hidap kanser akan menghadapi kewangan sebab kosnya tinggi,” katanya.
Jelas Najib, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM27 bilion pada 2018 untuk sektor kesihatan.
Langkah itu bagi memastikan kerajaan mencapai sasaran seorang doktor bagi 400 rakyat di negara ini menjelang 2020.
“Ini semua membuktikan bahawa apa yang dijanjikan kerajaan bukan satu yang omong kosong sahaja tetapi diterjemahkan yang membawa kepada pengiktirafan dunia dalam perkhidmatan perubatan negara,” jelas Najib. – MalaysiaGazette