KUALA LUMPUR – Kedutaan Palestin di Malaysia masih menunggu kelulusan kerajaan Mesir untuk proses membawa balik jenazah Dr Fadi Mohammed Al Batsh ke Gaza, Palestin.
Ketua Jabatan Sumber Manusia Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) Arafiah Aman berkata beliau telah menghubungi Duta Palestin ke Malaysia Datuk Dr Anwar H. Al Agha yang memaklumkan perkembangan itu.
“Saya telah menghubungi beliau (Anwar) yang memaklumkan belum menerima kelulusan kerajaan Mesir setakat ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Selayang di sini hari ini.
Anwar sebelum ini berkata pihak kedutaan telah menerima arahan jelas daripada Presiden Palestin Mahmoud Abbas untuk menguruskan segalanya termasuk kepulangan anggota keluarga imam dan pensyarah dari Palestin itu ke Gaza.
Bagaimanapun, pihaknya perlu berbincang dengan kerajaan Mesir kerana jenazah akan dibawa dari Kaherah ke Gaza.
Semalam, adik lelaki mangsa, Dr Rami Al Batsh, 31, berkata jenazah abangnya akan dibawa pulang ke Gaza hari ini selepas urusan dokumentasi selesai.
Untuk tujuan itu, Rami berkata pihaknya telah menempah tiket penerbangan termasuk untuk anggota keluarganya dari Kuala Lumpur ke Mesir bagi mengiringi jenazah ke Gaza.
Sementara itu, Unit Perubatan Forensik hospital itu masih menjadi tumpuan kira-kira 20 media tempatan dan asing yang menunggu perkembangan terkini berikutan jenazah Fadi masih berada di rumah mayat hospital berkenaan.
Anggota keluarga dan pengurusan jenazah Allahyarham masih menanti proses dokumentasi selain kebenaran untuk menghantar pulang jenazah ke Gaza melalui Mesir.
Fadi, seorang pensyarah kejuruteraan elektrik ditembak mati di luar kondominium Idaman Puteri di Setapak semasa berjalan ke Surau Medan Idaman untuk sembahyang subuh pada lebih kurang pukul 6 pagi Sabtu lepas.
Dua lelaki bermotosikal dikatakan menunggu mangsa sebelum melepaskan 10 das tembakan ke arah mangsa berusia 35 tahun itu.
— BERNAMA