KUALA LUMPUR – Parti-parti politik diminta tidak memasang bendera dan sepanduk di kawasan pentadbiran dan operasi milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Kawasan yang terlibat dengan larangan itu termasuk jejantas, sepanjang landasan termasuk pagar, tiang kabel elektrik dan papan tanda serta stesen/terminal/depoh, stokereta, kuarters dan bangunan.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, larangan itu adalah bagi mengelak bahan-bahan kempen tersebut terkena pada Alat Talian Atas yang berarus 25KV yang boleh menyebabkan gangguan kepada operasi tren dan mengancam keselamatan kru serta penumpang.
Orang ramai diminta memaklumkan kepada Polis Bantuan KTMB berdekatan atau menghubungi Pusat Kawalan Polis Bantuan pada talian 03-22631194 jika terdapat keadaan yang boleh menjejaskan operasi tren. – MalaysiaGazette