KOTA DAMANSARA – Mendekati dan menangani segala permasalahan pengundi di Parlimen Sungai Buloh (dahulu Subang) selama empat tahun lalu selepas PRU-13 dan tidak melarikan diri bakal menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) kali ini.
Calon MIC, A.Prakash Rao menyatakan keyakinan itu menjelang pilihan raya umum kali ini setelah beliau sekali lagi dicalonkan bertanding di kawasan itu.
Pada PRU-13, Prakash kalah kepada calon PKR yang juga peguam, R. Sivarasa di Parlimen Subang.
“Sebab kenapa saya diangkat sebagai calon sekali lagi walaupun pernah kalah di kerusi Subang (kini Sungai Buloh) adalah saya kekal setia dengan pengundi dan berkhidmat di sana.
“Saya telah memastikan tiga hingga empat tahun ini bekerja siang dan malam mendekati permasalahan masyarakat berbilang kaum di situ.
“Apabila kalah (PRU-13), saya tidak melarikan diri sebaliknya terus setia serta berbakti kepada pengundi dan menyelesaikan masalah mereka,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau hadir bersama penyandang Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan yang merasmikan Program Kesejahteraan Masyarakat India menerusi Program Pemberian Bantuan RM80 sebulan untuk membeli barang keperluan asas oleh miskin tegar B40 di Kota Damansara hari ini.
Dalam perkembangan sama, Prakash juga menjelaskan beliau telah sentiasa mendampingi pengundi dan menghulurkan bantuan setakat yang mampu.
“Maka rakyat tak kira Cina, Melayu atau India mereka mahu saya sebagai calon di kawasan mereka.
“Jika kita lihat mood di Sungai Buloh bagitu baik sekali. Selepas dua penggal di bawah pembangkang, mereka telah merasakan kerugian dan banyak perkara yang tak dapat dinikmatinya,” katanya lagi.
“BN akan bertembung dengan PKR, Pas dan PSM (lawan empat penjuru) di Sungai Buloh. Ia akan memberi kelebihan untuk saya menang bergaya dan menyediakan perkhidmatan terbaik dalam masa lima tahun akan datang,” kata Prakash.- MalaysiaGazette