Home Ekonomi 500,000 pendeposit TH tidak aktif

500,000 pendeposit TH tidak aktif

Tabung Haji
Lembaga Tabung Haji. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Lembaga Tabung Haji (TH) mengenal pasti hampir 500,000 akaun pendeposit TH yang tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun berturut-turut.

“Ia membabitkan jumlah simpanan RM62.8 juta. Semua akaun ini akan diklasifikasikan sebagai ‘Akaun Tidak Aktif’ mulai 1 Jun 2018,” demikian menurut TH dalam sebuah kenyataan di sini hari ini.

TH menasihati pendeposit terbabit supaya mengaktifkan akaun masing-masing dengan melakukan sekurang-kurangnya satu aktiviti transaksi simpanan atau pengeluaran wang di mana-mana cawangan TH, kaunter atau transaksi dalam talian rakan strategik TH-Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank, dan membuat urusan simpanan dengan pelbagai saluran Ejen Kutipan TH sebelum 31 Mei 2018, di seluruh negara.

TH berkata, ia akan memindahkan akaun yang masih tidak diaktifkan ke dalam kumpulan ‘Akaun Tidak Aktif’ bermula 1 Jun 2018.

“Setiap tahun, TH sentiasa mengingatkan pendeposit untuk memastikan status akaun sentiasa aktif, terkini dan mengemas kini data peribadi agar kepentingan dan kebajikan para pendeposit sentiasa terjaga,” kata TH.

Pengemaskinian maklumat pendeposit seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris adalah untuk kebaikan pemilik akaun dan penting untuk memudahkan TH menghubungi bakal haji atau waris untuk urusan surat penghantaran tawaran haji dan pengurusan harta.

“Sekiranya TH tidak dapat menghubungi pendeposit, bakal haji berkemungkinan akan terlepas giliran haji pada tahun berkenaan serta perlu menunggu pada tahun yang seterusnya untuk mengerjakan ibadat haji,” kata TH.

TH berkata, pendeposit atau anak di bawah jagaan yang kehilangan buku akaun, dipohon untuk datang ke mana-mana cawangan TH dengan membawa kad pengenalan/sijil kelahiran bagi tujuan semakan, penggantian buku baharu dan kemas kini maklumat.

Bagi sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau sebarang perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 03-6207 1919. – MalaysiaGazette