NEW DELHI – Seorang doktor di New Delhi melakukan kesilapan apabila membedah kaki pesakit yang sebenarnya mengalami kecederaan di kepala.
Pembedahan itu menyebabkan pesakit berkenaan tidak boleh berjalan.
Vijendra Tyagi mengalami kemalangan yang menyebabkan dia cedera ringan di kepala dan muka.
Mangsa kemudian ditahan di Pusat Trauma Sushruta yang dikendalikan oleh kerajaan tempatan dan menjalani pembedahan pada 19 April lalu.
Anak pesakitnya, Ankit Tyagi, menyedari bahawa ayahnya Vijendra telah dimasuskkan pin ke dalam kakinya selepas pembedahan.
Beberapa jam selepas pembedahan, prosedur dilakukan semula untuk mengeluarkan pin.
Pakar bedah dilaporkan tersilap prosedur antara Vijendra dengan pesakit lain yang mengalami patah kaki memandangkan mereka berada dalam wad sama.
Memandangkan Vijendra dijadualkan menjalani pembedahan kepala, dia telah dibius sepenuhnya, sedangkan prosedur pembedahan kaki yang dilakukan ke atasnya sepatutnya bius separa.
Disebabkan kesilapan itu, Vijendra tidak dapat berjalan.
Walaupun dia dan keluarganya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pakar bedah yang tidak dikenali itu, doktor tersebut kini dihalang daripada melakukan pembedahan tanpa pengawasan. – MalaysiaGazette