KLUANG – Tindakan empat wakil rakyat DAP Melaka yang meletakkan jawatan dua hari lepas jelas menunjukkan parti itu tidak sehaluan dan berada di landasan yang tidak betul.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata DAP sering menuding jari kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO, namun, parti itu tidak sedar bahawa apa yang dilemparkan terhadap BN dan UMNO sebenarnya berlaku di dalam parti mereka sendiri.
“Sebab itu, jangan tuduh dan bawa politik yang tidak membina dalam menghantui pemikiran rakyat terhadap BN dan UMNO.
“DAP hendak tuding jari kepada rumah kita (BN dan UMNO) tetapi rumah tangga mereka sendiri pun tidak terkawal,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hak milik Felcra Sungai Jebong, Mukim Kahang, kepada 333 pemilik oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di sini hari ini.
Anggota Parlimen Sembrong itu mengulas tindakan empat wakil rakyat DAP Melaka yang keluar daripada parti tersebut iaitu anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bachang Lim Jak Wong, Chin Choong Seong (Kesidang) dan Goh Leong San (Duyong) serta anggota Parlimen DAP Kota Melaka, Sim Tong Him.-MalaysiaGazette