KUALA LUMPUR – Datuk C. Sivarraajh merancang menyaman Yang Dipertua Pertubuhan Pencegahan Dadah, Jenayah dan Keselamatan Pendidikan Malaysia, Plaindran Ramanathan yang mendakwa beliau menjadi ahli dua parti komponen Barisan Nasional (BN).
Ketua Pemuda MIC itu berkata, beliau tidak perlu menjawab atau membuktikan statusnya sebagai ahli myPPP kerana tidak pernah mendaftar dengan parti itu.
Tambah beliau, dakwaan tersebut pada mulanya ditimbulkan oleh bekas Presiden myPPP, Tan Sri M. Kayveas itu tidak disokong dengan dokumen atau resit keahlian.
“Benar kata saya tidak pernah menjadi ahli myPPP baik secara sengaja atau tidak sengaja dalam kehidupan saya, jadi kenapa saya perlu menjawab mengenai status keahlian myPPP yang tidak pernah wujud.
“Lagipun kalau nak saman Kayveas pun tak guna sebab dia kini tidak ada apa-apa dalam parti (dipecat). Lagipun saya malas mahu bicara pasal isu yang tidak wujud.
“Yang pasti saya nafikan habis-habisan bahawa saya ahli myPPP. Mana bukti resit yang saya bayar duit keahlian atau notis minta saya (ahli) hadir ke mesyuarat agung sebelum ini. Lantaklah, saya bukan gila nak masuk parti itu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Berikutan itu, beliau juga membidas tindakan individu NGO berkenaan yang muncul tiba-tiba dan mempersoalkan status keahliannya dengan myPPP.
Beliau turut membidas Plendran yang mahu mengheretnya ke mahkamah selain menekan Sivarraajh membatalkan salah satu keahlian partinya di ejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) di Jalan Duta di sini.
“Kepada NGO yang rujuk saya ke RoS dan nak heret saya ke mahkamah boleh tak tunjukkan dokumen asal kad keahlian myPPP didakwa kononnya milik saya.
“Bukti salinan fotostat zaman teknologi sekarang semua boleh hasilkan dengan bermacam-macam cara dan tidak semestinya benar.
“Saya akan bincang dengan penasihat undang-undang dan akan saman dia (Plendran) kerana mengaitkan saya dengan isu yang tidak ada kena mengena langsung,” katanya. – MalaysiaGazette