Home Seni Hidup Beli rumah ketika muda – Rosyam Nor

Beli rumah ketika muda – Rosyam Nor

Datuk Rosyam Nor yang dilantik sebagai Idola Pelaburan PNBD tahun kedua berkongsi pengalaman dan di Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) yang berakhir di Batu Pahat, Johor hari ini.
Datuk Rosyam Nor yang dilantik sebagai Idola Pelaburan PNBD tahun kedua berkongsi pengalaman dan di Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) yang berakhir di Batu Pahat, Johor hari ini.

BATU PAHAT – Kesedaran awal amat penting bagi memastikan golongan muda tidak ketinggalan dalam pemilikan aset, terutamanya dalam sektor perumahan.

Menerusi pelbagai plan yang dilancarkan, seharusnya golongan muda mengambil peluang untuk membeli aset perumahan pada harga mampu milik yang ditawarkan.

Pelakon yang juga Idola Pela­buran Permodalan Nasional Bhd. Development (PNBD), Datuk Rosyam Nor menegaskan tahap kesedaran golongan muda terhadap pemilikan rumah, masih boleh dipertingkatkan.

“Saya berharap, golongan belia tidak hanya melihat masa depan mereka sekadar pekerjaan, pekerjaan perlu disusuli dengan pemilikan rumah.

“Dengan pelbagai tawaran dan peluang yang ditawarkan, inilah masa terbaik untuk orang muda mendapatkan aset masing-masing” kata bintang filem KL Special Force itu.

Datuk Rosyam Nor dan penyanyi Najwa Latif hadir Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) yang berakhir di Batu Pahat, Johor hari ini.

Datuk Rosyam Nor yang dilantik sebagai Idola Pelaburan PNBD buat tahun kedua sebelum itu berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam pemilikan hartanah di Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) yang berakhir di sini hari ini.

Turut berkongsi pentas bersama Datuk Rosyam adalah penyanyi genit kelahiran Batu Pahat, Najwa Latif yang senada dengan pelakon pujaan ramai itu.

Mereka berdua tampil dalam Program Idola Pelaburan PNBD di MSAM. Program tersebut merupakan usaha murni PNBD dalam menyalurkan pendidikan, kesedaran dan mempromosikan kepentingan membuat pelaburan kewangan dan aset demi masa hadapan yang terjamin terutamanya kepada golongan muda.

Bagi Ketua Pegawai Operasi PNBD, Mohd Saleem Kailany, golongan muda hari ini seharusnya mengambil peluang untuk melabur dalam sektor hartanah berdasarkan  peluang yang lebih banyak berbanding dahulu.

“Nasihat saya kepada orang muda, jangan takut untuk melabur. Bertanyalah kepada mereka yang berpengalaman dan pakar. Membeli rumah ini seharusnya menjadi perkara yang menggembirakan, bukan menakutkan”, katanya.

PNB sebelum ini menyatakan komitmen untuk membina 5,000 unit rumah mampu milik menerusi tiga projek perumahan di Port Dickson, Pedas dan Banting.

Projek pertama di Bagan Pinang, Port Dickson dilancarkan 17 April lalu, telah habis dijual manakala projek kedua di Telok Datuk, Banting pula akan dilancarkan Jun nanti, turut mensasarkan golongan muda berpendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah. – MalaysiaGazette