SERDANG – Perusahaan Otomobil Sdn. Bhd. (Perodua) memperkenalkan varian baharu Bezza GXtra sempena Malaysia Autoshow 2018 yang berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini bermula hari ini hingga 29 April ini.
Varian baharu itu akan menggantikan 1.0 Standard G dalam model Bezza sedia ada dengan harga bermula RM35,500 untuk manual dan RM37,500 untuk automatik tanpa insurans atas jalan di Semenanjung Malaysia bersama waranti lima tahun atau 150,000 kilometer yang pertama.
Majlis pelancarannya dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Tun Razak. Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.
Sementara itu, Bezza GXtra menggunakan enjin 1.0L 1KR-VE dengan VVT-i sama seperti varian terdahulu dalam opsyen transmisi manual 5-kelajuan atau automatik 4-kelajuan E-AT (kawalan elektronik).
Luarannya menampilkan skirt sisi dan pemeang pintu krom serta boleh didapati dalam warna biru Ocean Blue yang sebelum ini hanya ditawarkan untuk varian 1.3L.
Dalaman Bezza GXtra turut dilakukan penambahan trim pada ruang kabin untuk lebih fiil premium manakala papan pemuka dan panel audio dalam trim hitam Piano Black serta.
Ia turut menampilkan ventilator penyaman udara, sayap stereng dan tapak gear dalam trim warna cerah dengan sistem audio kali ini dilengkapi fungsi Bluetooth.
Seperti model Perodua lain, Bezza GXtra menawarkan lebih penjimatan bahan api berbanding sebelumnya, iaitu 22.8km per liter (manual) dan 21.3km per liter (automatik) seiring dengan status sedan itu sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).
Dalam pada itu, Aminar berkata, sebagai jenama automatif nombor satu, Perodua berbangga kerana dapat memperkenalkan Bezza GXtra di Malaysia Autoshow 2018 yang merupakan antara pameran permotoran utama tahun ini.
“Bezza GXtra baharu adalah dedikasi berterusan Perodua buat para pelanggan kami kerana ia dibangunkan berdasarkan maklum balas mereka.
“Sebagai syarikat yang mengutamakan insan, Perodua sentiasa memberi perhatian kepada keperluan dan kehendak pelanggan kami.
“Kami akan terus menambahbaik produk dan perkhidmatan kami untuk meningkatkan lagi tahap kepuasan pelanggan kami,” katanya.
Bezza merupakan sedan pertama keluaran Perodua dan menjadi sedan EEV paling mampu milik di Malaysia.
Sejak dilancarkan pada pertengahan 2016, ia telah menjadi sedan paling laris dengan hampir 100,00 unit dijual sehingga kini. – MalaysiaGazette