Itulah mesej Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pengundi Cina jika mereka menolak calon-calon Barisan Nasional (BN) khususnya wakil daripada kaum Cina pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Perdana menteri berkata jika calon-calon BN daripada kaum Cina ditolak dan rakyat mengundi orang lain, dengan itu BN tidak akan dapat melantik pemimpin Cina dalam Kabinet.
“Kita perlukan wakil kaum Cina yang mantap dalam kerajaan, kerana jika kita meminggirkan pemimpin Cina, perwakilan mereka dalam kerajaan adalah lemah,” kata pengerusi BN itu pada sidang media khas di sini hari ini menjelang hari penamaan calon PRU14 esok.
Najib berkata bagaimanapun jika Bn berjaya memperoleh majoriti wakilnya dalam Parlimen untuk membentuk kerajaan, beliau akan memilih wakil daripada komuniti Cina.
Perdana menteri menasihatkan pengundi Cina agar tidak membuat kesilapan sama seperti yang berlaku pada pilihan raya umum yang lepas.
“Pada kali ini, lebih baik bersama-sama dengan BN. Lihat pada kestabilan, pertumbuhan pesat ekonomi, lebih banyak peluang perniagaan, lebih banyak bantuan kewangan dan kredit mikro dengan BN.
“Pihak sebelah sana? Saya tidak fikir kita dapat melihat semua itu, saya tidak fikir mereka mampu melakukan perkara sama,” katanya.
— BERNAMA