Home Nasional Najib berdepan tiga lawan

Najib berdepan tiga lawan

Najib Razak selaku calon Barisan Nasional (BN) P.085 Pekan menghantar borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Pusat Penamaan Calon P.085 Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 28 APRIL 2018

PEKANĀ  – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempertahankan kerusi Parlimen Pekan akan berdepan pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Najib yang juga Perdana Menteri ditentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Zahid Md Arip, calon Pas (Kapten Athiatudin Daud) dan calon Bebas (Datuk Abd Kadir Sainudin).

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pekan, Md Yusli Ibrahim Mohd Yunus pada pukul 11.30 pagi di astaka berhadapan Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah yang menjadi lokasi pusat penamaan calon bagi parlimen berkenaan.

Terdahulu, Najib tiba di pekarangan dewan tersebut pada kira-kira pukul 8.45 pagi bersama lebih 5,000 penyokong UMNO dan parti komponen BN yang sebelum itu berarak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dari Bangunan UMNO Pekan.

Para penyokong BN hadir dengan semangat membara apabila membawa pelbagai sepanduk dan bilangan mereka jauh mengatasi kumpulan kira-kira 500 penyokong pakatan pembangkang yang rata-ratanya penyokong Pas.

Agak menghairankan apabila kehadiran penyokong Pakatan Harapan mampu dikira bilangan dan tenggelam dengan lautan warna biru tua.

Sebaik masa penyerahan borang pencalonan dibuka, Najib yang berbaju Melayu biru kemudian menjadi calon pertama menyerahkan borang pencalonan diikuti empat calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen berkenaan.

Mereka ialah calon BN di DUN Pulau Manis (Datuk Khairuddin Mahmud), Peramu Jaya (Datuk Seri Sh. Mohmed Fizo Sh. Ali); Bebar (Datuk Fakhruddin Mohd. Ariff) dan Chini (Datuk Seri Abu Bakar Harun).

Najib mula menjadi anggota Parlimen Pekan pada 1976 selepas bapanya, perdana menteri kedua dan anggota Parlimen Pekan, Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.

Sejak itu Najib kekal menjadi wakil rakyat kawasan itu kecuali semasa beliau menjadi Menteri Besar Pahang antara 1982 dan 1986.

Ketika itu beliau mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri Bandar Pekan.

Senarai calon Parlimen Pekan dan DUN:

Parlimen Pekan P085

1.Datuk Seri Najib Tun Razak (BN)
2. Mohamad Zahid Md Arip (PKR)
3. Athiatudin Daud (Pas)
4. Datuk Abd Kadir Sainudin (Bebas)

N.20 Pulau Manis
1. Datuk Khairuddin Mahmod (BN)
2. Kapten (B) Zainuddin Noh (Pas)
3. Abu Bakar Lebai Sudin (PKR)

N.21 Peramu Jaya
1. Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN)
2. Datuk Salim Abdul Majid (PPBM)
3. Abu Kassim Manaf (Pas)

N.22 Bebar
1. Datuk Mohd Fakhruddin Mohd Arif (BN)
2. Mohd Nazhar Othman (Pas)
3. Afif Syairol Abdul Rahim (PPBM)

N.23 Chini
1. Datuk Seri Abu Bakar Harun (BN)
2. Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (Pas)
3. Mohamad Razali Ithnain (PKR)

  • MalaysiaGazette