PEKAN – Tsunami fitnah yang akan ditabur dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana ia merupakan sandaran pembangkang gara-gara ketiadaan modal, kata Perdana Menteri.
Namun Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yakin fitnah, kutukan dan serangan pembangkang itu tidak akan mengubah kehidupan rakyat.
“Kerajaan BN adalah berbeza dengan parti pembangkang kerana politik kita adalah untuk kesejahteraan hidup rakyat.
“Buktinya sudah jelas di dalam buku manifesto BN apabila terdapat 364 inisiatif dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Tuan-tuan tahu kalau kita berjanji, janji kita ditepati selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas Pesawah Peringkat Negeri Pahang di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Merchong Jaya di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar, Datuk Mohd. Fakhruddin Mohd. Ariff.
Pada majlis itu, golongan pesawah dari lima kampung di Pekan, Rompin, Kuantan, Maran dan Jerantut menerima Bantuan Khas Pesawah Padi berjumlah RM1.4 juta.
Turut disampaikan Elaun Sara Hidup Nelayan Darat kepada 779 penerima dan Bantuan ‘Touch Point’ Input Perikanan kepada 442 penerima.
Mengulas lanjut, Najib berjanji negara akan dilonjakkan ke tahap yang lebih hebat jika BN terus diberikan mandat untuk lima tahun akan datang
“Pilihan raya kali ini adalah pilihan raya untuk menentukan masa depan Malaysia, bukan sahaja siapa menjadi Perdana Menteri.
“Jika rakyat memilih BN, Insya-Allah inilah aku janji kita (manifesto BN) dan aku janji kita ini kita akan tepati dan tunaikan,” tegasnya. – MalaysiaGazette