KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz mendoakan kejayaan adiknya, Nik Abduh.
Malah anak kepada Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat itu juga percaya Nik Abduh yang menjadi calon Pas di Parlimen Bachok juga mendoakan perkara yang sama kepadanya.
“Ada yang bertanya mengenai hubungan keluarga saya. Saya ingin nyatakan hubungan kekeluargaan itu perlu dijaga. Selisih pandangan itu perkara biasa,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Secara peribadi, Nik Omar yakin pendekatan yang dibawa PH mirip dengan perjuangan allahyarham ayahnya dan gabungan itu menjadi kekuatan melawan Barisan Nasional (BN).
”
Saya percaya kita semua mempunyai matlamat yang sama ingin membawa Malaysia ke arah lebih baik.
Situasi ini “sama macam kita nak ke Mekah, ada yang naik kapal terbang, naik kapal laut. Yang penting semua nak cari keredhaan Allah Taala,” katanya.
Menurutnya lagi, DUN Chempaka tidak asing kepadanya kerana sejak kecil beliau sering mengikuti ayahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Cempaka semasa hidupnya.
“Jadinya saya rasa terpanggil untuk meneruskan legasi yang beliau bawa. Terutama di Kelantan amnya dan di Malaysia.
Saya tidak mengajak rakyat melawan Islam. Saya ajak rakyat berpegang pada al Quran. Saya tidak mengajak untuk gunakan kekerasan. Saya mahu mengajak kita menjunjung harapan,” ujarnya.
Hubungan sesama Islam dengan orang Pas termasuk juga pada bukan Islam akan terus dipelihara, katanya.
“Ada pun saya juga hormati pendirian Pas dalam situasi politik semasa hari ini.
Akhirnya saya mahu mati sebagai orang mukmin yang beriman,” jelasnya.
Nik Omar membuat kejutan kerana bertanding menjadi calon PH di DUN Chempaka kerana sebelum ini tidak mahu berbuat demikian kerana dilarang oleh ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.
Semalam, semasa hari penamaan calon, Tuan Sabariah menemani Nik Abduh di Bachok bagi penamaan calon PRU-14.
Difahamkan, Nik Abduh enggan mengulas mengenai tindakan Nik Omar dan akan berbuat demikian pada masa lain.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan menegaskan, pucuk pimpinan parti mengambil tindakan dramatik memecat Nik Omar atas tindakannya menjadi calon PH.-MalaysiaGazette
Nik Omar tidak dapat restu ibu sertai PAN