TELUK INTAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi P76 Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, parti itu terpaksa mengatur semula segala strategi dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) setelah mendapati Pas turut bertanding di kawasan itu.
Ujar beliau, sudah menjadi kebiasaan BN akan menentang satu lawan satu dengan DAP, namun kehadiran Pas dalam gelanggang pastinya akan memberi impak kepada peratusan calon yang akan diperoleh oleh kedua-dua parti tersebut.
“Kebiasaannya Pas tidak akan bertanding di kerusi populasi Cina, jadi kita akan buat pengiraan semula.
“Sebelum ini, hanya berlaku pertembungan satu lawan satu, antara BN dan DAP. Tapi kali ini kehadiran Pas sudah jadi tiga penjuru, kita pun tidak biasa ada Pas, dan kita akan buat kiraan semula.
“Pas yang masuk gelanggang kali ini akan membuatkan laluan agak sukar buat BN. Tapi kita masih ada peluang untuk menentang kedua-dua parti,” katanya ketika ditemui theRakyat dalam program Kebudayaan di perayaan Chitrapournami 2018 anjuran Persatuan Pembangunan Ekonomi di Dataran Bazaar Ramadhan Teluk Intan, semalam.
Siew Keong sebelum ini memenangi kerusi itu dengan hanya 238 undi ketika beliau menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2014.
Ditanya mengenai jumlah undi tipis yang dimenangi beliau pada 2014, jelas Siew Keong BN tidak boleh memandang kepada jumlah undi tipis yang dimenangi pada PRK 2014, namun harus memandang kepada jumlah kekalahan teruk yang dialami parti itu pada PRU-13 lalu sebagai panduan.
“Kita perlu guna keputusan Pilihan Raya Umum ke 13, kami telah kalah dengan 7, 313 undi.
“Itu satu jumlah yang besar juga, dan kita akui bukan senang untuk mengatasi keputusan PRU-13 lalu.
“Beberapa tahun ini kita telah buat banyak projek dan program kebajikan kepada rakyat, dan kita telah berkhidmat dengan baik. Jadi kita ada peluang walaupun tidak mudah tapi kita akan kerja kuat,” katanya lagi.
Siew Keong diumumkan sebagai calon kerusi parlimen Teluk Intan bersama Nga kor Ming daripada PKR dan calon PAS Dr Ahmad Ramadzan Ahmad Daud. -MalaysiaGazette