MANILA – Presiden Rodrigo Duterte mengharamkan penghantaran pekerja-pekerja Filipina ke Kuwait.
Arahan itu susulan tindakan Kuwait yang mengarahkan Duta Besar Manila meninggalkan negara Teluk tersebut selepas Kedutaan Filipina bertindak membantu pekerjanya melarikan diri akibat dikasari majikan.
Sebelum ini, kedua-dua negara telah berunding semula mengenai isu buruh selepas Manila mengharamkan sementara penghantaran warganya ke Kuwait selepas kes pembunuhan membabitkan pekerja Filipina yang mayatnya ditemui dalam peti sejuk.
“Pengharaman ini tekal, tidak akan ada lagi pengambilan untuk pembantu rumah terutamanya,” kata Duterte.
Setakat ini Kuwait belum memberi sebarang maklum balas.
Kira-kira 262,000 orang Filipina bekerja di Kuwait dengan hampir 60 peratus daripada mereka sebagai pembantu rumah.
Filipina telah memohon maaf berhubung video yang menyaksikan seorang pembantu rumah dibantu oleh kedutaan Filipina melarikan diri selepas dikasari majikannya.
Tindakan itu menyebabkan Duta Besar Kuwait diusir dan Kuwait pula memanggil semula wakilnya di Manila.
Kuwait juga menahan empat orang Filipina yang diupah oleh kedutaan Manila dan mengeluarkan waran tangkap terhadap tiga pegawai diplomatik, kata Manila.
Duterte menggambarkan layanan pekerjanya di Kuwait sebagai “musibah”.
Beliau akan membawa pulang pembantu rumah Filipina yang mengalami penderaan di sana.
“Saya ingin memberi ucapan kepada patriotisme, pulanglah tidak kira betapa miskinnya kita, kita akan bertahan, ekonomi sedang berjalan dengan baik dan kita akan kurang pekerja kita ke luar,” katanya.
Kira-kira 10 juta rakyat Filipina bekerja di luar negara, mencari pekerjaan bergaji tinggi, menjadikan kiriman wang mereka sebagai tonggak utama ekonomi Filipina. – MalaysiaGazette