YONG PENG – Seramai 12 individu yang dipecat oleh MCA dan menjadi calon Bebas untuk bertanding pada PRU14 dianggap sebagai ‘macai’.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perkara itu bukan satu masalah besar kepada MCA kerana parti itu sendiri mempunyai lebih sejuta ahli .
Katanya, pemecatan 12 individu itu juga tidak meninggalkan sebarang kesan kepada MCA yang merupakan parti terbesar kaum Cina yang bernaung di bawah Barisan Nasional.
“Kita tidak perlukan mereka. Ada juga yang baru beberapa bulan sertai MCA mahu jadi calon,” katanya pada sidang media di Bangunan MCA Ayer Hitam hari ini.
“DAP lebih teruk singkirkan dua tokoh hebat iaitu Dr Tan Seng Giaw dan Dr Boo Cheng Hau. Mereka punya masalah 1,000 kali ganda teruk,” katanya pada sidang media di sini.
Berkuatkuasa semalam, MCA memecat Kim Yak Hong dan Ting Choon Chai dari MCA Tebrau, Tee Boon Tsong dan Ng Yak Howe dari MCA Pulai dan Bakri, Chin Kwai Heng dan Chin Kwai Leong dari MCA Batu Gajah dan Yeo Keng Chuan dari MCA Bukit Mertajam, serta penyokong dan pencadang dan saksi pencalonan mereka. – MalaysiaGazette