Home Politik Calon Wangsa Maju harap bantuan rakan UMNO

Calon Wangsa Maju harap bantuan rakan UMNO

Calon Barisan Nasional untuk kerusi Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look bercakap kepada media pada majlis Pelancaran Manifesto Parlimen Wangsa Maju di Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 APRIL 2018.
Calon Barisan Nasional untuk kerusi Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look bercakap kepada media pada majlis Pelancaran Manifesto Parlimen Wangsa Maju di Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Calon Parlimen Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look berharap rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional (BN) membantunya berkempen sehingga hari mengundi dalam usaha merampas kerusi yang dipegang PKR selama dua penggal itu.

Teong Look berkata, walaupun sebelum ini kerusi tersebut ditandingi oleh UMNO namun kemunculan kembali MCA di kawasan itu perlu sentiasa didokong.

“Itulah yang saya harapkan, BN ni pun dikenali sebagai parti pelbagai kaum jadi sudah pastinya kita mengharapkan rakan daripada UMNO untuk sentiasa membantu kita di sini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Pusat Khidmatnya di Danau Kota.

Walaupun kawasan Parlimen Wangsa Maju mempunyai jumlah pengundi majoriti Melayu namun beliau yakin kehadirannya akan diterima pengundi.

“Saya bukan orang baru, saya lama aktif di sini. Saya cukup faham keadaan di kawasan sini.

“Bagi saya dengan rakan-rakan saya, Malaysia ini berbilang kaum. Saya nak tegaskan di sini di bawah BN ada parti berbilang kaum di mana komposisi berlainan kita atas semangat BN bila calon dipilih kita perlu sokong.

“Siapa juga bertanding, BN adalah satu pasukan berbilang kaum untuk menjayakan matlamat,” katanya.

Parlimen Wangsa Maju mempunyai 61 peratus pengundi Melayu, 30 peratus Cina, India 8 peratus manakala lain-lain adalah 2 peratus.

Pada pilihan raya lalu, BN menampilkan Mohd Shafei Abdullah di situ namun beliau tewas kepada calon PKR, Tan Kee Kwong manakala pada pilihan raya 2008 BN yang mengetengahkan calon MCA turut kecundang di tangan PKR. – MalaysiaGazette