Home Politik Saingan sengit tak halang BN rampas Kapar

Saingan sengit tak halang BN rampas Kapar

KLANG – Calon pembangkang yang berpengalaman dan parti penyandang Parlimen Kapar bukan satu penghalang kepada wakil Barisan Nasional (BN), Datuk Mohana Muniandy merampas kerusi yang dimenangi PKR sejak tahun 2008 itu.

Mohana selaku Ketua Wanita MIC Kebangsaan berkata, rakyat kini semakin celik dan mahu wakil rakyat yang membawa perubahan  bukan ‘meninggalkan’ kawasan tanpa sebarang pembangunan.

“Kalau kita tengok di Parlimen Kapar ini di bawah ahli parlimen PKR pada PRU-13, tiada banyak perubahan, tiada apa pun pembangunan.

“Selama 10 tahun rakyat Kapar menderita, jalan-jalannya teruk, tiada pemimpin di sini yang dapat menyelesaikan masalah masyarakat,” katanya selepas Majlis Ziarah Sayang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru di sini hari ini.

Ketua Wanita Barisan Nasional, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (dua kanan) dan calon Barisan Nasional P.109 Kapar, Datuk Mohana Muniandy (kanan) meluangkan masa bersama penduduk sempena kempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Taman Meru 4, Kapar, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 30 APRIL 2018.

Hadir sama Ketua Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Wanita UMNO Selangor, Datuk Nor Hayati Onn.

Parlimen Kapar sebelum ini telah dimenangi calon PKR, S Manikavasagam dalam PRU-12 manakala PRU-13 pula dimenangi oleh calon PKR lain, G. Manivannan.

Mohana juga berkata, beliau akan menubuhkan pusat perkhidmatan 24 jam kepada rakyat Kapar bagi membantu mereka yang terpinggir sejak pakatan pembangkang memeritah di kawasan itu.

“Kita akan menubuhkan satu pusat perkhidmatan 24 jam yang dinamakan Kasih Kapar di mana kita boleh menyelesaikan masalah masyarakat setempat ini secepat mungkin.

“Apa yang dikehendaki rakyat ialah satu penyelesaian secepat mungkin, jadi kita akan mewujudkan pusat ini,” katanya.

Katanya lagi, memandangkan jumlah pengundi Parlimen Kapar kini mencecah lebih 124,000 orang, sudah tiba masanya kawasan itu mempunyai kemudahan kesihatan iaitu hospital besar sendiri.

“Manifesto saya adalah untuk mendapatkan hospital di Kapar sebab sehingga kini lebih 124,000 pengundi masih belum dapat hospital.

“Itu akan jadi motif saya selepaa menang di Kapar dan jika rakyat kembalikan Kapar kepada BN, pasti kita akan membawa pembangunan di seluruh Kapar,” katanya lagi – MalaysiaGazette