KUANTAN – Calon Pakatan Harapan (PH) dan penyandang kerusi Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mendakwa isu projek Lynas belum selesai kerana terdapat janji yang belum ditunaikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Beliau yang akan bertanding untuk penggal ketiga parlimen itu pada PRU-14 mendakwa, janji itu melibatkan tapak kekal pembuangan sisa radio aktif dan penghantarannya ke Australia.
Tegas wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, BN cuba mendiamkan isu Lynas itu walaupun beliau beberapa kali telah menyuarakannya di Parlimen sebelum ini.
“Sebelum PRU yang lepas, kerajaan BN termasuk beberapa menteri dan Datuk Seri Liow Tiong Lai sendiri mengatakan sisa tersebut akan dihantar balik ke Australia. Itu janji dia pada PRU lepas.
“Saya tanya berapa kali di Parlimen, kata ada tapak namun sehingga hari ini kita tahu sisa tersebut masih ada di kilang lynas di gebeng.
“Ia isu yang tidak selesai apabila BN cuba menutup isu ini dengan mengatakan tidak ada isu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas mengadakan program walkabout di Pasar Besar Kuantan di sini hari ini.
Beliau diminta dakwaan calon BN Parlimen Kuantan, Datuk Andrew Wong yang mengatakan Naib Presiden PKR itu tidak mempunyai isu di kawasan itu dan akan mengitar semula isu lama iaitu projek Lynas.
Isu Lynas bermula sejak tahun 2009 lagi apabila bermula penentangan terhadap pembinaan kilang pemprosesan logam tanah jarang milik Lynas Corporation di kawasan perindustrian Gebeng di sini kerana banyak pihak mengambil kesempatan untuk mempolitikkan projek itu.
Mengulas lanjut, Fuziah turut pelik dengan pendirian parti Andrew iaitu MCA yang berubah pendirian yang kini mengatakan projek tersebut selamat.
“Saya minta warga Kuantan persoal Andrew dan juga seluruh pemimpin BN dan (Liew) Tiong Lai. Kenapa mereka senyap dan mereka cuba tutup isu bukan lagi isu radiasi namun isunya sekarang tapak kekal pelupusan kepada sisa tersebut.
“Bagi saya isu Lynas belum selesai dan fail yang belum ditutup. Walaupun saya sudah tidak bersuara tapi warga Kuantan sudah faham kerana BN tidak ada strategi atau perancangan terhadap projek Lynas ini,” katanya. – MalaysiaGazette