JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) berjanji akan mengubah pola dan struktur pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya agar menjadi lebih baik sekiranya pengundi di kawasan itu mengubah sokongan kepada parti tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.
Calon BN bagi kerusi DUN kawasan berkenaan, Datuk Tan Cher Puk berkata, banyak infrastruktur di Johor Jaya dilihat sudah usang dan wajar digantikan dengan yang baharu.
Katanya, sebagai contoh, pasar awam yang menjadi pusat perniagaan pelbagai bangsa perlu diroboh dan diganti dengan yang baru agar aktiviti perniagaan di situ menjadi rancak dan selesa.
“Bangunan pasar itu sudah berusia 32 tahun dan keadaannya amat teruk.
“Jika pengundi membuat pilihan dan memenangkan saya sebagai calon BN pada PRU nanti, saya berjanji akan mendapatkan peruntukan untuk menggantikan bangunan pasar yang baru,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.
Cher Puk berkata, antara lain yang dirancang oleh BN di kawasan itu ialah mahu membangunkan kawasan dan pusat riadah untuk warga emas dan golongan muda dengan dilengkapi pelbagai kemudahan dan kelengkapan.
Katanya, langkah itu bagi menjamin masyarakat di kawasan setempat di pelbagai peringkat usia agar dapat menjalani kehidupan yang sihat meskipun tinggal di bandar.
Tambah beliau, selain itu, BN turut merancang untuk menaiktaraf pusat perdagangan di Johor Jaya serta pusat inkubator kepada golongan muda yang ingin belajar dan menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Katanya, pusat tersebut akan menjadi sebuah pusat yang unggul di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Dalam pada itu Cher Puk yakin BN akan menang ketiga-tiga kerusi yang dipertandingkan sama ada diperingkat Parlimen mahupun DUN di kawasan itu.
Pada masa ini, penyandang kerusi DUN Johor Jaya adalah calon dari parti DAP yang kini mewakili PKR, Liow Cai Tung yang menang dengan majoriti sebanyak 1,460 undi pada PRU13.
DUN Johor Jaya adalah sebuah kawasan dalam Parlimen Pasir Gudang dan Permas merupakan satu lagi DUN dalam kawasan Parlimen itu.
Pada PRU14, Cai Tung akan dicabar oleh Cher Puk dan seorang lagi pencabar dari parti Pas, R. Kumutha. – MalaysiaGazette