GEORGETOWN – Barisan Nasional Pulau Pinang mendesak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berhenti memproses atau meluluskan pelan pembangunan bangunan tinggi di lereng bukit di sekitar kondominium Miami Green di Tanjong Bunga.
Pengerusinya, Teng Chang Yew berkata, pihaknya mahu Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar campur tangan dalam kes ini kerana Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang telah meluluskan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) pembangunan di kawasan tersebut.
Berikutan itu, Chang Yew yang juga calon Tanjong Bunga membidas manifesto Pakatan Harapan negeri yang langsung tak menyentuh mengenai pembangunan di lereng bukit dan melindungi alam sekitar.
“Pembangunan tanpa terkawal khususnya sistem perparitan tidak dapat menampung kapasiti air yang melimpah dengan tahap tinggi hanya akan meletakkan nyawa manusia dalam bahaya,” katanya semasa ditemui dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Gerakan negeri itu baru baru ini.
Menurutnya, kepadatan penduduk untuk projek berkenaan adalah 101 unit kediaman untuk seekar manakala had yang dibenarkan di kawasan berisuko tinggi ialah 15 unit kediaman seekar.
“Saya sedang memikirkan berapa banyak projek lagi yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri yang ditadbir oleh DAP dan MBPP di Pulau Pinang,” kata beliau.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang itu berkata, sebarang pembangunan 76 meter atau 250 kaki dari atas paras laut tidak akan diluluskan jika BN diberi mandat mentadbir Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
“Kita mahu memastikan pulau dan kawasan lereng bukit 250 kaki atas paras laut akan dijadikan hutan simpanan tetap.
“Rakyat negeri Pulau Pinang harus bersatu mesti menghentikan pembangunan di atas bukit dan lereng-lereng bukit dan juga kawasan berisiko tinggi.
“Kita harus melindungi alam sektar dan menjamin keselamatan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette