BAGAN DATUK – Tun Dr. Mahathir Mohamad digesa melantik sendiri badan siasatan bebas sekiranya tidak puas hati dengan laporan yang dikeluarkan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Dr Mahathir turut boleh melantik mana-mana badan siasatan bebas yang disukai beliau berhubung dakwaannya, malah boleh menggunakan badan siasatan antarabangsa bagi tujuan itu.
“Kalau beliau tidak berpuashati dengan laporan CAAM, beliau boleh meminta sebuah badan bebas atau syarikat antarabangsa untuk melihat laporan daripada CAAM itu samada benar atau tidak.
“Itu boleh dilakukan dan saya fikir Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahmah tidak sembunyikan apa-apa fakta kerana beliau tidak terlibat untuk membantu mana-mana pihak,” katanya dalam sidang media selepas melaksanakan ‘walkabout’ di sekitar Kampung Sungai Ular, Kampung Sungai Burung dan Kampung Pasang Api di Parlimen Bagan Datuk.
Sabtu lalu, CAAM menerusi Pengerusinya Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata tiada unsur sabotaj terhadap pesawat peribadi yang dinaiki Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Langkawi pada Jumaat lalu.
Jelas Azharuddin, ia sebaliknya berpunca daripada masalah teknikal kecil dan rutin iaitu kebocoran tayar sebelah kiri pesawat berkenaan.
Malah katanya, tuduhan Dr. Mahathir terhadap CAAM menjejaskan reputasi industri penerbangan Malaysia secara keseluruhannya.
Mengulas mengenai perkara itu, Ahmad Zahid hairan bagaimana individu yang pernah memerintah selama 22 tahun mempersoalkan tentang sistem yang pernah digunapakai semasa pemerintahannya suatu masa dahulu.
“Tun Dr. Mahathir harus menerima bahawa penjelasan itu adalah daripada pihak berwibawa. Beliau harus meyakini sistem yang beliau pernah wujudkan dahulu,” katanya lagi.
Pada Jumaat lalu, Dr. Mahathir mendakwa pesawatnya disabotaj pihak tertentu ketika beliau dalam perjalanan untuk ke Langkawi sempena proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) di Langkawi. -MalaysiaGazette