PASIR GUDANG – Barisan Nasional (BN) Johor kesal dengan sikap penyokong gabungan pembangkang PKR yang bertindak agresif apabila mencederakan seorang penyokong warga emas dalam kejadian di Ayer Hitam, Batu Pahat, malam tadi.
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku hanya disebabkan perbezaan fahaman politik.
“Ini tidak betul dan tidak wajar dilakukan apabila seorang penyokong calon pembangkang menolak satu orang tua jatuh dari atas pentas. Tak perlulah nak berkempen macam itu.
“Kita nak berkempen pilih wakil rakyat terbaik dan kerajaan yang akan perintah, jadi tidak perlulah guna kekerasan,” katanya.
Mohamed Khaled berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan upacara pecah tanah pelebaran Jalan Kota Masai 1, di Taman Pasir Putih di sini hari ini.
Mohamed Khaled seterusnya menasihatkan parti dan penyokong masing-masing berkempen secara sihat dalam tempoh tidak sampai 10 hari ini tanpa mencetuskan sebarang provokasi.
Menteri Besar itu mahu selepas PRU-14 semua pihak perlu kembali bekerjasama dan bermuafakat sebagai Bangsa Johor, sekali gus melupakan segala yang berlaku.
Dalam kejadian malam tadi seorang warga emas BN dicederakan penyokong pembangkang di Ayer Hitam.
Tan Hong Hi@Ting Hong Hi, 77, dari Taman Kota, Yong Peng ditolak jatuh dari pentas ceramah pada pukul 8.50 malam oleh penyokong gabungan pembangkang PKR yang berusia 58 tahun.
Mangsa mengalami keretakan tulang rusuk kiri dan kini ditahan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan lanjut. – MalaysiaGazette