PENDANG – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin secara terbuka menggesa supaya rakyat memberi peluang kepada Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.
Selepas lama ‘mengunci mulut’ sebelum ini dalam memberi sokongan kepada bos lamanya itu kini beliau membantu kempen Mahathir.
Daim semasa lawatan ke ibu pejabat pembangkang di Pendang berkata, rakyat perlu menyokong Mahathir yang kini berjuang untuk ‘membetulkan’ negara yang didakwanya sudah tersasar jauh.
“Pasal apa dia (Mahathir) balik walaupun umur dah 93 tahun, sudah tentu dia balik ada sebab tertentu.
“Saya minta kali terakhir untuk rakyat menyokong dia (Mahathir) jadi Perdana Menteri balik kerana dia sedang berjuang untuk Malaysia dan demi kepentingan rakyat,” kata beliau hari ini.
Daim berkata, rakyat perlu berkorban kerana Mahathir juga sedang melakukan pengorbanan masa pencennya untuk memastikan masa depan negara terjamin.
“Dia sanggup berkorban, jadi kita pun kena sanggup berkorban,” katanya lagi.
Beliau juga mendakwa hutang kerajaan kini semakin tinggi dan rakyat pula terbeban akibat pengenalan GST yang mengakibatkan kos sara hidup semakin tinggi.
“Dahulu kita dekat 57 tahun tidak ada GST tapi sekarang ini kena GST. Belum beranak kena GST, mati pun kena cukai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette