Home Politik Tak masuk hospital pun orang sokong saya – Tun M

Tak masuk hospital pun orang sokong saya – Tun M

KUALA LUMPUR – “Tak payah masuk hospital pun untuk raih simpati. Sekarang pun orang bagi sokongan kepada saya,” kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian mungkin merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam kemungkinan pembangkang menggunakan isu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dimasukkan ke hospital bagi tujuan meraih undi simpati.

Mahathir berkata demikian semasa berkempen di Ceramah Mega P119 di Titiwangsa di sini malam tadi.

Selain itu, Mahathir mengulang-ulang permohonan maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana mempromosi Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga menjadi perdana menteri sebelum ini.

“Saya minta maaf kerana sayalah yang naikkan dia (Najib) sehingga jadi perdana menteri.

“Itulah kesilapan terbesar yang pernah saya buat selama hidup ini,” katanya.

Mengulangi skrip yang sama mengenai rasuah  kononnya dilakukan Perdana Menteri dan penubuhan 1MDB, Mahathir tetap mampu membuatkan hampir 1,000 penyokong tidak berganjak dari kawasan padang permainan Blok E, Desa Pandan meskipun hujan lebat.

Selain Najib dan Rosmah, Mahathir turut membidas kepimpinan Pas yang enggan bersama PH pada PRU-14 ini.

Mahathir juga menuduh Pas menerima sogokan daripada UMNO sengaja mahu memecahkan undi dan memberi kemenangan percuma kepada BN pada pilihanraya umum pada 9 Mei ini.

“Pas bukan boleh menang pun, pernahlah menang 11-12 kerusi kemudian bila bergabung dengan DAP, baru menang 25 kerusi.

“Sekarang ini mereka bersendirian tetapi sebenarnya mereka bersama BN. Mereka menerima wang yang kononnya derma tetapi itu adalah sogokan.

“Tengoklah kempen mereka (Pas) kali ini, banyak betul bendera.Dari mana mereka dapat duit?” soalnya.

Selain Mahathir, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah Negara, Mohammad Sabu turut berceramah.-MalaysiaGazette