Home Nasional Politik saja lah, jangan fitnah – Mohd Ali

Politik saja lah, jangan fitnah – Mohd Ali

Calon Barisan Nasional (BN) P.137 Hang Tuah Jaya, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (tengah) bergambar kenangan bersama sebahagian penduduk pada Majlis Sambutan Hari Keluarga Taman Bukit Katil Kenari dan Bukit Katil Indah sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Taman Bukit Indah Hang Tuah Jaya, Melaka. foto AQIRA AZEMI, 01 Mei 2018
Calon Barisan Nasional (BN) P.137 Hang Tuah Jaya, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam (tengah) bergambar kenangan bersama sebahagian penduduk pada Majlis Sambutan Hari Keluarga Taman Bukit Katil Kenari dan Bukit Katil Indah sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Taman Bukit Indah Hang Tuah Jaya, Melaka. foto AQIRA AZEMI, 01 Mei 2018.

MELAKA – Mengelak fitnah lawan meracuni minda pengundi, Tan Sri Mohd Ali Rustam agresif menyaman pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, sehingga kini sudah dua tindakan undang-undang dibuat terhadap pihak lawan yang menyebarkan maklumat tidak benar mengenainya dalam kempen mereka.

“Pada pilihan raya lepas, mereka tuduh saya makan duit orang susah RM10. Sedangkan saya tubuhkan koperasi, bagi mereka saham dan bina hotel. Hari ini hotel dah tersergam dan beroperasi.

“Fitnah tu orang boleh percaya. Pilihan raya kali ini dia ulang lagi (tuduhan yang sama). Mana boleh fitnah sepanjang masa. Saya takkan diam diri, saya akan ambiil tindakan.

“Kita tegakkan kebenaran. Kita politik, kita politik. Jangan fitnah,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Keluarga Bukit Katil Indah, dekat sini.

Mantan Ketua Menteri kelahiran Bukit Katil itu berkata, adalah menjadi impiannya untuk melihat kawasan itu membangun sewajarnya.

Katanya, penduduk di situ sudah terlepas banyak pembangunan dan kemajuan apabila wakil rakyat pilihan mereka tidak melakukan apa-apa sepanjang lima tahun lalu.

“Jadi saya lihat kita kena kerja dua kali ganda untuk tebus kembali kehilangan lima tahun lalu.

“Jika penduduk tak pilih BN, mereka akan hilang 5 tahun lagi. Jadi 10 tahun. Sayang, 10 tahun bukan masa yang pendek. Patut guna masa ini untuk kebaikan masa itu, kebaikan bersama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pengundi dapat membuat penilaian positif demi masa depan anak mereka, pada 9 Mei ini, berdasarkan pengalaman serik `mencuba perubahan’ pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Banyak juga pengundi mengadu tak kenal wakil mereka, tak tahu rumah, tak tahu pejabat. Ada yang bila jumpa, dia (wakil rakyat) kata minta pada BN.”

Pada PRU14 Mohd Ali berdepan saingan tiga penjuru menentang seteru tradisi, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Dr Md Khalid Kassim dari Pas. – MalaysiaGazette