Home Utama Nik Omar tenang terima cacian

Nik Omar tenang terima cacian

Walaupun dituduh anak derhaka, Nik Omar tetap dengan pendiriannya bersama PH memperjuangkan Islam.
Nik Omar Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Walaupun dituduh sebagai anak derhaka kerana menyertai Parti Amanah Negara (PAN) dan bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 9 Mei ini, Nik Omar Nik Abdul Aziz tenang menerima caci maki itu.

Anak kedua dari 10 beradik itu tetap tenang dan menutur kata-kata yang baik bagi menangkis segala tohmahan yang dilemparkan ke atasnya setelah membuat keputusan mengejutkan untuk tidak bersama Pas.

Bahkan, paling perit bagi Nik Omar ialah ‘serangan’ daripada adiknya sendiri, Nik Mohamad Abduh yang menyifatkan beliau bukan abang atau anak yang soleh kerana meninggalkan perjuangan Pas yang diterajui Allahyarham bapanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak sekian lama.

Mengulas mengenai tohmahan itu, termasuk ibunya, Tuan Sabariah Tuan Ishak dikatakan akan berkempen membantu calon Pas yang dicabarnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Omar dengan tenang berkata, terserahlah, beliau secara perbadi tidak ada masalah.

“Itu terserah. Ambo (saya) secara peribadi tidak ada masalah kerana yang pentingnya apabila kita niat ikhlas kepada Allah, dan keutamaan kita bukan kepada kepentingan individu atau berkumpulan, tapi apa yang kita nak capai ialah kesejahteraan rakyat.

“Sebagai anak sulung lelaki, menjadi tanggungjawab saya lebih besar untuk pastikan kepelbagaian, perbezaan pandangan itu tidak menjejaskan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Sebelum ini, Nik Mohamad Abduh dilaporkan berkata, bondanya dengan kesihatan yang terbatas akan turun membantu jentera muslimat Pas di DUN Chempaka.

Tuan Sabariah yang berkongsi hidup dengan Allahyarham Nik Aziz mempunyai 10 anak iaitu Nik Aini, Nik Umar (Omar), Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Mohamad Abduh, Nik Adilah, Nik Mohamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Menurut Nik Omar, beliau teringat kata-kata yang biasa digunakan arwah ayahnya ketika berceramah di pentas politik sebelum tahun 1990.

Katanya, ayahandanya menyebut, konsep Pas adalah konsep menerang, bukan menyerang.

“Maknanya, kita bercerita asas Islam, kita cerita apa yang parti kita nak bawa, kemudian kita serah kepada pengundi untuk buat pilihan.

“Kita menggunakan sistem demokrasi, kalau mereka bersetuju dengan kita, Alhamdulillah. Mereka tidak bersetuju dengan kita juga, Alhamdulillah.

“Kita telah selesai tanggungjawab kita, jadi tidak perlu kita menyerang, beri gelaran dan caci maki, itu tidak ada dalam Islam sebenarnya,” kata beliau.

Beliau turut meninggalkan pesanan kepada pengundi dengan kata-kata, “ambo tak ajak adik kakak lawan Islam, ambo ajak adik kakak pegang al-Quran; Ambo tak ajak adik kakak guna kekerasan, ambo ajak adik kakak junjung harapan; ambo tak ajak adik kakak pegang senapang, ambo hanya ajak adik kakak pegang kalam; ambo tak ajak adik kakak pangkah orang, ambo ajak adik kakak semua sekali pakat pangkah Harapan. Lambang keadilan, demi kebajikan”. – MalaysiaGazette