Home Nasional Pengundi senyap King Maker PRU14

Pengundi senyap King Maker PRU14

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sama ada kemenangan diberikan kepada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan – keputusan Pilihan Raya ke-14 (PRU14) akan ditentukan oleh pilihan pengundi atas pagar atau pengundi senyap.

Ini kerana pengundi senyap mewakili antara 20 hingga 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr Jeniri Amir berkata, pemilihan parti atau calon oleh pengundi senyap bergantung kepada strategi dan isu-isu yang dibangkitkan menjelang hari-hari terakhir kempen.

“Bagi penyokong tegar mana-mana parti mereka ini memang sudah pula bulat hati untuk memilih parti atau calon. Mereka ini tunggu masa mengundi sahaja.

“Berbeza dengan pengundi senyap, mereka ini akan membuat keputusan pada saat-saat akhir, mereka inilah yang penentunya kerana jumlah mereka melebihi penyokong tegar dan terdiri daripada pelbagai komposisi.

“Dan, berdasarkan analisis terdahulu, pengundi-pengundi senyap inilah King Maker yang membuat keputusan mereka dengan mengambil kira kepentingan negara sebagai keutamaan,” katanya yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Sivamurugan Pandian berkata, meskipun media sosial digunakan secara berleluasa dalam kempen pilihan raya kali ini namun ia bukan penentu kepada keputusan pilihan raya.

Menurutnya, media sosial yang digunakan secara meluas sejak pilihan raya 2008 sekadar boleh bertindak sebagai alat berkempen dan sokongan sahaja.

Oleh sebab itu, penyokong-penyokong tegar parti yang agak vokal mengetengahkan pandangan mereka menerusi media sosial.

“Tetapi kita tidak pasti sama ada mereka itu (penyokong tegar) sudah mendaftar atau tidak, boleh mengundi atau sebaliknya,” tambahnya. – MalaysiaGazette

+ posts