TELUK INTAN – Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong menggunakan cara tersendiri untuk menghadapi berita palsu dan fitnah yang dilemparkan ke atasnya.
Walaupun menerima fitnah berat apabila dituduh melakukan gangguan seksual ke atas seorang penjaja Melayu, Siew Keong tetap bertenang dengan menjawab, “saya orang berbudi, dan saya juga sangat takut bini.”
Fitnah terhadap Siew Keong itu juga terbukti tidak benar apabila penjaja yang dikatakan menerima gangguan seksual telah menafikan perkara itu.
Ketika berkempen untuk Siew Keong, bekas Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon juga memujinya sebagai seorang yang baik.
“Saya tidak melihat akan berlaku perubahan kerajaan, mari kita menyokong Siew Keong supaya orang baik seperti dia ini dapat terus memperjuangkan kepentingan rakyat di Parlimen,” katanya dipetik Sinchew Daily dalam satu kempen di Teluk Intan.
Tsu Koon berkata, pencabar Siew Keong iaitu Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mencadangkan supaya dirinya menjadi Ahli Parlimen Teluk Intan manakala Siew Keong yang kalah akan dilantik sebagai Senator oleh Barisan Nasional (BN).
“Cadangan saya ialah biar Siew Keong menang di Teluk Intan kerana Kor Ming boleh dilantik sebagai Senator oleh kerajaan negeri Pulau Pinang,” katanya.
Teluk Intan dilihat sebagai antara kawasan dengan pertandingan paling sengit, terutamanya kerana masing-masing Kor Ming dan Siew Keong merupakan tokoh politik yang amat dikenali dalam kalangan pengundi Cina di Perak.
Walaupun berdepan cabaran getir, Siew Keong yakin sebahagian pengundi Cina akan kembali memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN).
“Saya sedar angin pembangkang masih kencang, tetapi saya juga percaya pengundi telah melihat usaha kami selama ini,” katanya dipetik China Press. – MalaysiaGazette