KUALA LUMPUR- Penerangan yang betul mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) merupakan tanggung jawab semua pemimpin sama ada daripada Barisan Nasional mahu pun Pakatan Harapan.
Penyandang kerusi Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, rakyat sebenarnya tidak faham mengenai sistem percukaian GST dan pembangkang pula mengambil kesempatan tersebut untuk menjadikannya sebagai modal politik.
“Secara semula jadi, semua rakyat tidak suka bayar cukai apatah lagi jika cukai itu dicaj secara berasingan kerana sebelum ini Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dimasukkan ke dalam harga barang atau perkhidmatan tersebut.
“Jadi, adalah menjadi tanggung jawab pemimpin sama ada BN atau PH untuk memberi penerangan tentang benda yang betul kerana sebelum ini rakyat tidak faham.
“Contohnya semasa BN bantu golongan B40 dengan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), semua pembangkang tidak bersetuju, DAP tidak bersetuju tetapi lama-kelamaan mereka bersetuju dan mahu meneruskan BR1M.
“Jadi, kita mesti terus memberi penerangan. Ini bukan isu pilihan raya, selepas pilihan raya pun kita kena beri penerangan,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan peniaga Cina di sekitar Taman Maluri dekat sini hari ini.
Jelas Johari, lebih 100 negara telah melaksanakan GST dan tiada satu negara pun menghapuskannya kerana ia merupakan satu sistem percukaian yang lebih telus dan sistematik.
Katanya, tiada negara yang sempurna di dunia ini namun Kerajaan Barisan Nasional yang telah memerintah Malaysia selama 60 tahun terbukti berjaya membawa negara ke arah yang lebih baik.
Malah, dalam masa yang sama mengekalkan kestabilan dan keharmonian di antara semua rakyat di negara ini.
Tambah Johari, kerajaan telah mengkaji manfaat sesuatu polisi – kepada rakyat dan negara sebelum melaksanakannya namun kadang-kala ia mengambil masa sebelum rakyat dapat merasainya.
BR1M sebagai contoh telah berjaya mencipta satu ekosistem yang sihat kepada ekonomi negara dengan memberi limpahan manfaat kepada semua peringkat dan bukan hanya kepada golongan B40 yang menjadi penerima sebaliknya turut dirasai oleh peniaga, pembekal dan pengilang.
“Apabila kita memberi BR1M kepada golongan berpendapatan rendah, mereka tidak simpan wang itu, mereka membelanjakannya.
“Jadi, peruncit dan peniaga restoran mendapat manfaatnya dan rangkaian itu terus bersambung sehingga kepada pembekal dan pengilang. Ini telah mencipta ekosistem positif kepada ekonomi negara.
“Jika kita beri kepada semua orang, golongan yang berduit tidak akan membelanjakan wang tersebut sebab mereka pun dah banyak duit. Maka pemberian BR1M akan menjadi sia-sia,” katanya lagi.- MalaysiaGazette