Home Politik Azman yakin BN dapat balik Parlimen Hulu Langat

Azman yakin BN dapat balik Parlimen Hulu Langat

AZman, Ahmad, kempen, Parlimen, Hulu Langat
Azman Ahmad

HULU LANGAT – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hulu Langat, Azman Ahmad yakin parti itu dapat menawan semua kerusi yang dimenangi Pas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu selepas enam hari menjalankan kempen bertemu rakyat.

Tanpa memikirkan waktu tidur yang secukupnya, Azman memenuhi semua jadual yang disusun jentera parti bagi melengkapkan siri kempennya sebelum tiba hari pengundian.

“Kawasan ini telah ditawan pembangkang sejak dua penggal lalu iaitu pada PRU12 dan PRU13 yang menyaksikan Pas menang dengan majoriti lebih 17,000 di mana itu bukanlah jumlah yang sedikit berbanding 1,700 sebelum itu.

“Melihatkan kepada pertemuan dengan rakyat sepanjang minggu berkempen ini, saya nampak ramai yang telah mula berpaling kepada BN semula selepas melihat tidak ada apa yang telah dibuat pihak pembangkang selama menjadi wakil rakyat di Parlimen Hulu Langat,” katanya ketika ditemui berkempen di Taman Sri Nanding pagi tadi.

Kata Azman, hampir semua rakyat yang ditemui memberi maklum balas yang sangat positif walaupun berhadapan dengan penyokong-penyokong parti pembangkang.

“Pendekatan saya sewaktu berkempen sangat mudah iaitu untuk memperkenalkan diri saya dan mendangar permasalahan yang dihadapi rakyat selama ini.

“Memang mereka tahu saya adalah calon dari BN tetapi saya datang sebagai orang yang hendak bersahabat dan terserah kepada mereka untuk membuat pilihan.

“Saya tak boleh memaksa orang untuk mengundi saya tetapi saya berharap mereka dapat terima saya sebagai sahabat yang boleh membantu mereka sekiranya dipilih menjadi Ahli Parlimen pada PRU14 nanti,” jelasnya.

Kata beliau, setakat ini, kehadirannya disambut baik oleh semua pengundi yang berbilang kaum.

“Sesungguhnya saya sangat teruja setiap kali bertemu rakyat kerana boleh dikatakan hampir setiap pertemuan, saya dimaklumkan dengan pelbagai permasalahan yang tidak dilaksanakan oleh pemimpin terdahulu.

“InsyaAllah, demi ikatan persahabatan, saya tidak akan ketepikan rakyat sekiranya saya dipilih menjadi pemimpin di sini pada PRU14 nanti,” katanya.

Tambah Azman, dia akan memastikan dirinya bukan pemimpin yang hanya turun padang bila mahukan sesuatu daripada rakyat.

“Persepsi itu memang telah menjadi buah mulut rakyat sejak sekian lama tetapi ingatlah bahawa setiap orang tidak sama perbawakannya.

“Janganlah samakan dengan orang lain tetapi jika saya ada melakukan kesilapan, saya sentiasa terbuka untuk menerima teguran,” jelasnya. – MalaysiaGazette