Home Politik BN belum mampu ‘curi hati’ pengundi Cina

BN belum mampu ‘curi hati’ pengundi Cina

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Trend sokongan masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN) terdapat peningkatan terutama di kawasan luar bandar tetapi ia masih belum sampai kepada tahap yang diharapkan.

Ini kerana, parti yang mewakili kaum itu – MCA dan Gerakan didapati masih tidak ada keberanian dalam membawa ‘suara’ masyarakat Cina di negara ini.

Walaupun masyarakat Cina tahu DAP tidak berkemampuan daripada pelbagai aspek, sekurang-kurangnya parti itu dilihat mempunyai keberanian untuk ‘menyalak’ berbanding MCA dan Gerakan.

Bagaimanapun, pemerhati politik, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong percaya, masyarakat Cina akan kembali ke pangkuan BN sekiranya parti itu mendengar suara komuniti tersebut.

Beliau yang juga Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pemerhatiannya mendapati masyarakat Cina berkecil hati dengan BN yang dirasakan telah melakukan diskriminasi terhadap mereka walaupun dakwaan itu dinafikan.

“Itu persepsi mereka, mungkin ada yang betul dan ada yang salah. Persepsi kadang kala tidak selalunya salah.

“Jika BN diberi mandat sekali lagi, saya berharap pemimpin-pemimpin dengarlah pandangan dan luahan hati mereka agar masyarakat Cina tahu mereka tidak dipinggirkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Biarpun wujud risiko kemungkinan tidak ada wakil Cina dalam Kabinet jika MCA atau Gerakan ditolak pada PRU kali ini, ia bukan satu masalah kepada kaum itu.

Teo berkata, ia disebabkan masyarakat Cina sudah lali dengan diskriminasi dan terbiasa hidup di atas kaki sendiri.

“Pembangkang pun memang tidak ada buat janji kepada kaum Cina, lantaran itu masyarakat Cina melihat tidak ada kerugian pun jika menyokong pembangkang,” tambahnya.

Ditanya apakah diskriminasi yang dimaksudkan pada mata kasar kaum Cina, Teo berkata, masyarakat itu nampak banyak peluang didahulukan kepada kaum Melayu sebagai populasi terbesar di negara ini.

Walaupun, Kerajaan Barisan Nasional mewujudkan konsep 1Malaysia namun ia tidak diterjemahkan secara menyeluruh, sebaliknya lebih kepada produk-produk yang memberi faedah kepada kelompok B40.

Sedangkan, konsep 1Malaysia itu perlu mencakupi dalam aspek perpaduan dan pembangunan bersama kaum-kaum, jelasnya.

Teo menaruh harapan jika BN diberi peluang menerajui Malaysia selepas PRU ini, isu tersebut diambil serius oleh BN.

Jika pendekatan itu dibuat tidak mustahil dalam tempoh satu atau dua kali PRU lagi sokongan Cina kembali kepada parti tersebut, ujarnya. – MalaysiaGazette