KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia telah menghantar pasukan siasatan khas ke Thailand untuk mengesan suspek tembak mati imam Palestin di Setapak pada April lalu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pasukan polis telah menghantar skuad khasnya ke Thailand untuk bertemu dengan Polis Diraja Thailand untuk memulakan kerjasama dalam kes itu.
“Kita telah hantar polis ke Bangkok berjumpa dengan wakil polis Thailand sebagai menjalin kerjasama membantu siasatan kita mengesan suspek terlibat yang sedang dikehendaki polis di sini.
“Kita juga menjalin kerjasama dengan polis Singapura dan Indonesia untuk memperhebatkan operasi pencarian suspek melibatkan dua lelaki disyaki warga Timur Tengah dan Eropah,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.
Imam warga Palastin berusia 35 tahun itu ditembak mati di hadapan laluan pejalan kaki di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, di sini, ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh dalam kejadian pada 21 April lalu.
Dua suspek yang disyaki menaiki motosikal berkuasa tinggi melepaskan 10 das tembakan ke arah mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian itu.
Dalam perkembangan terbaharu kes itu, polis juga berjaya mengesan maklumat lengkap mengenai motosikal yang dipercayai telah disewa oleh kedua-dua suspek itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam. – MalaysiaGazette