KUALA LUMPUR – Kenyataan Tan Sri Mokhzani Mahathir – antara individu Melayu terkaya di Malaysia yang menghina penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sesuatu yang tidak boleh diterima.
Malah anak Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu tidak layak untuk bercakap mengenai golongan tidak berkemampuan memandangkan harta kekayaannya mencecah nilai berbillion ringgit.
Itu pun hasil keuntungan ketika bapanya, Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Menurut Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari, kenyataan Mokhzani itu juga memperlihatkan beliau seorang yang ‘bongkak dan sombong’ .
“Semua tahu bagaimana Mokhzani mengumpul harta kekayaan sehingga mencecah billion rinngit dalam tempoh yang begitu singkat.
“Malah, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah beberapa kali membuat pendedahan syarikat Mokhzhani iaitu Kenchana Petroleum menerima projek terbanyak dalam Petronas ketika itu.
“Ketika itu juga, bapa anda, Tun Mahathir adalah Penasihat Petronas. Kita sedia maklum bagaimana anda kumpul harta kekayaan itu. Tidak semua orang terutama golongan penerima bantuan BR1M itu sebenarnya mempunyai bapa sehebat anda yang mampu menjana berbilion ringgit untuk anaknya. Tidak semua bertuah seperti anda (Mokhzani),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemimpin MIC itu juga menyifatkan kenyataan Mokhzhani itu sebagai hipokrit kerana PH sendiri tidak berhasrat memansuhkan BR1M sekiranya memerintah.
“Jawapannya sangat mudah, hakikat sebenarnya pembangkang sedia maklum inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan sebenarnya sangat bagus namun tidak mahu langsung mengakui secara terbuka sebaliknya melakukan pelbagai kempen untuk membuatkan rakyat keliru dan benci,” tegasnya.
Vell Paari mahu Mokhzhani belajar menghormati semua golongan, tidak kira kaya atau miskin.
“Jangan rasa diri itu hebat sangat sehingga boleh hina sesiapa terutamanya yang tidak berkemampuan. Tidak ada rasa kesian dalam diri anda melihat penderitaan dan kesusahan oleh mereka?” soalnya lagi.
Apa yang pasti, menurutnya, kerajaan sekurang-kurangnua telah melakukan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan beban rakyat bukan hanya membuat ‘bising’ atas pentas ceramah sahaja.
Sebelum itu, Mokhzani dalam satu ceramah di FELDA Sungai Tiang, Pendang, Kedah, malam kelmarin mendakwa, meskipun kerajaan gembira kerana mampu membantu rakyat menerusi BR1M, rakyat sebenarnya lupa bantuan itu menunjukkan mereka tidak mampu menyara kehidupan sendiri.
Pada ceramah sama, Mokhzani turut mengatakan janji kerajaan untuk mewujudkan tiga juta peluang pekerjaan dianggap tidak pasti kerana apa yang dilihat dalam projek mega seperti di Kuantan dan Johor Bahru, dilaburkan untuk China.
Mengulas mengenai dakwaan projek mega hanya menguntungkan pihak luar seperti China, Paari berkata, ianya bertujuan untuk menimbulkan rasa benci dalam kalangan rakyat dengan inisiatif kerajaan untuk pembangunan negara.- MalaysiaGazette